CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 4540|Reply: 0

[Tempatan] Geran RM10 juta bantu 5,000 pemilik kereta nasional lama beli kereta baharu

[Copy link]
Post time 27-1-2026 05:53 PM | Show all posts |Read mode
Geran RM10 juta bantu 5,000 pemilik kereta nasional lama beli kereta baharu
Mohd Zaky Zainuddin - Januari 27, 2026 @ 4:36pm

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tiga kiri) bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah (dua kiri), Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (dua kanan), Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar (tiga, kanan) dan Pengarah Kanan PERODUA, Borhan Din (kiri) ketika Majlis Pelancaran Program Pemberian Geran Padanan Bagi Penggantian kenderaan Lama di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu kira-kira 5,000 pemilik kenderaan menggantikan kenderaan lama mereka menerusi Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama, dengan tumpuan hanya kepada jenama automotif nasional.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2026 itu disasarkan kepada pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bagi menggalakkan peralihan kepada kenderaan baharu yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.

Menerusi program berkenaan, penerima yang layak akan menikmati geran padanan hingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan bagi mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu.

"Pendekatan geran padanan ini memastikan kerajaan dan industri berkongsi tanggungjawab, sekali gus memberikan impak kewangan yang lebih bermakna kepada rakyat," katanya selepas majlis peluncuran program itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar.

Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama hanya tertakluk kepada pemilik semua model Proton dan bagi Perodua hanya Aruz dan Ativa.

Intervensi keselamatan, kurangkan kereta lama di jalan

Menurut Loke, program berkenaan diwujudkan sebagai intervensi keselamatan jalan raya dengan matlamat mengurangkan bilangan kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan di jalan raya.

Kenderaan lama lazimnya terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang ciri keselamatan moden serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

"Setiap kenderaan lama yang dikeluarkan daripada jalan raya melalui program ini adalah satu risiko yang berjaya dikurangkan dan satu langkah ke arah melindungi nyawa pengguna jalan raya," katanya.

Keselamatan jalan raya bukan sekadar isu statistik, sebaliknya membabitkan nyawa manusia, keselamatan keluarga dan kesejahteraan komuniti.

E-DeREG pastikan kenderaan lama tak kembali secara haram

Pelaksanaan program itu turut diperkukuh melalui penggunaan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan proses pembatalan pendaftaran dilakukan secara digital, pantas dan telus.

Pendigitalan itu membolehkan pemilik kenderaan membatalkan pendaftaran tanpa perlu hadir secara fizikal ke kaunter, sekali gus mengurangkan birokrasi dan masa menunggu.

Kenderaan lama yang menyertai program ini akan dilupuskan secara sah melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF), iaitu pusat pelupusan berlesen yang mematuhi piawaian alam sekitar.

Loke berkata, mekanisme AATF memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram, selain mengelakkan penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran.

"Pelupusan terkawal ini juga membolehkan bahan buangan dan komponen kitar semula diurus dengan selamat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran," katanya.

Program itu juga membantu menangani isu kenderaan terbiar di kawasan awam yang boleh menjejaskan keselamatan, kebersihan persekitaran dan imej bandar.

Selain manfaat langsung kepada rakyat, Loke berkata, inisiatif itu turut menyokong pertumbuhan industri automotif tempatan dengan merangsang permintaan domestik dan aktiviti ekonomi.

Katanya, rantaian industri automotif dan sektor kitar semula turut mendapat limpahan manfaat menerusi peluang pekerjaan serta peningkatan aktiviti pelupusan dan penggantian kenderaan.

Beliau menjelaskan, penumpuan kepada jenama automotif nasional selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri tempatan dan memastikan dana awam dimanfaatkan secara berkesan.

"Program ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan penyelesaian praktikal, bersasar dan berimpak tinggi kepada rakyat," katanya.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan mekanisme permohonan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-1-2026 08:20 PM GMT+8 , Processed in 0.454455 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list