CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2368|Reply: 0

[Jenayah] Pegawai JKM didakwa salah guna wang bantuan baiki rumah RM15,000

[Copy link]
Post time 24-2-2026 12:58 PM | Show all posts |Read mode
Pegawai JKM didakwa salah guna wang bantuan baiki rumah RM15,000
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Februari 24, 2026 @ 12:42pm

ALOR SETAR: Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah RM15,000 pada 2016 dan 2017.

Mohamad Zarir Mohd Khozali, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim didakwa secara curang menyalahgunakan bantuan membaiki rumah berjumlah RM3,000 milik Umi Kalsom Awang, 39.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim pada 19 September 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara curang menyalahgunakan bantuan membaiki rumah berjumlah RM12,000 milik Siti Daoyah Awang, 77, dan Azizah Ishak, 72.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB, Jalan Tuanku Putra, Kulim pada 2 Oktober 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan sebat serta didenda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.

Nurul Atikah kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Mohd Hakim meminta jaminan minimum berikutan anak guamnya bakal menerima bayaran separuh gaji selepas ini.

Tertuduh juga masih menanggung persekolahan empat anaknya berusia antara 10 hingga 19 tahun selain menyara kedua ibu bapanya yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 berserta seorang penjamin dan dia tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.

Hakim kemudian menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.

Tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar dan mengemukakan seorang penjamin.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-2-2026 02:26 PM GMT+8 , Processed in 1.050747 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list