|
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, didapati memiliki saham bernilai ratusan ribu ringgit dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, sekali gus melanggar pekeliling kerajaan yang melarang penjawat awam memiliki saham melebihi RM100,000, menurut laporan Bloomberg dalam pendedahan baharu yang mengingatkan kembali kontroversi empat tahun lalu yang mencetuskan desakan supaya beliau ditangkap.
Laporan itu memetik dokumen syarikat yang menunjukkan Azam, yang tempoh jawatannya sebagai ketua SPRM dilanjutkan tiga kali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memegang 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai semasa hampir RM800,000.
Selain melepasi nilai maksimum saham yang dibenarkan kepada penjawat awam berdasarkan pekeliling kerajaan pada 2024, Azam juga berkemungkinan gagal mematuhi arahan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun, kesalahan sama yang membawa kepada siasatan SPRM terhadap individu lain.
Menurut Bloomberg, Azam belum membuat pengisytiharan harta secara terbuka, sambil menambah pejabat Azam belum menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkara itu.
Pendedahan tersebut muncul ketika Azam memberikan publisiti luas berhubung siri siasatan oleh SPRM, di mana beliau berikrar mengejar individu kaya dan berpengaruh walaupun berdepan tekanan untuk meletak jawatan.
"Ada yang menyuruh saya berundur, tetapi persoalannya adakah kita sendiri mahu mengalah? Saya tidak pernah mengalah," katanya dalam satu wawancara bulan lalu.
Sebelum ini, Azam kerap menerima pujian daripada Anwar, yang menyifatkannya sebagai "berani" dalam apa yang dipanggilnya perang melawan rasuah.
|