POLIS menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal dan kereta dalam Operasi Samseng Jalanan di Persiaran Senawang 1, di sini, awal pagi tadi. FOTO ihsan POLIS
Seremban: Waktu sudah menunjukkan jam 2 pagi, namun kumpulan 'mat rempit' ini masih lagi aktif 'memerah' enjin motosikal mereka di lokasi tumpuan di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, awal pagi, hari ini.
Walaupun sudah banyak kali operasi secara besar-besaran dijalankan di lokasi itu, namun kumpulan berkenaan seolah mencabar pihak berkuasa dengan kegiatan 'merempit'.
Malah, ada yang berani menunggang tanpa sebarang nombor pendaftaran, menggunakan ekzos bingit termasuk melakukan aksi tunggangan bahaya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, sebanyak 73 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan di lokasi berkenaan yang bermula jam 2.30 pagi itu.
"Hasil risikan dan intipan yang dilakukan di lokasi mendapati beberapa kumpulan penunggang motosikal menunggang secara melulu dengan mengeluarkan bunyi ekzos yang bising sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
"Kumpulan penunggang motosikal ini juga menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan itu.
"Perbuatan mereka bukan saja membahayakan nyawa sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 23 motosikal dan 20 kereta sebelum sebanyak 73 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Daripada jumlah kesalahan itu, ubah suai ekzos mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu sebanyak 15 kes, diikuti tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi masing- masing mencatatkan enam kesalahan.
"Kesalahan tiada lesen memandu sebanyak lima saman, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan sebanyak empat saman dan selebihnya lain-lain kesalahan termasuk seorang kesalahan bawah umur.
"Daripada jumlah motosikal yang diperiksa, sebanyak 23 motosikal dibawa ke Balai Polis Senawang dan tiga motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Katanya, menerusi operasi ini, dua remaja lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun ditahan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang dalam keadaan bahaya.
"Kedua-dua suspek yang ditahan antaranya bekerja sebagai mekanik dan pembantu kedai makan itu direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, kekuatan operasi membabitkan enam pegawai dan 55 anggota dari Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban yang berakhir pada 4.30 pagi.
Justeru katanya, Polis Daerah Seremban khususnya (BSPTD) ingin menasihatkan penunggang motosikal di kawasan ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada.
"Operasi seperti ini juga akan terus dijalankan dari masa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
|