|
|
NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi, Astronomer Inc, Andy Byron meletakkan jawatan selepas tular video beliau berpelukan dengan rakan sekerja dipercayai 'kekasih gelapnya'.
Perkara itu dimaklumkan syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan bertulis di profil Linkedln semalam.
" emimpin kami sepatutnya mematuhi standard tata kelakuan dan akauntabiliti, namun baru-baru ini, ia tidak dipenuhi," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Andy Byron menawarkan peletakan jawatannya sebagai CEO dan lembaga pengarah meluluskannya.
Byron diberi cuti pada Jumaat dan Ketua Pegawai Produk, Pete DeJoy dilantik sebagai CEO interim.
Rabu lalu, aksi mesra Byron dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Astronomer, Kristin Cabot berpelukan dirakam melalui paparan skrin 'kiss cam' pada konsert Coldplay yang berlangsung di Gilette Stadium, Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).
Insiden terbabit mula tular selepas netizen membongkar identiti pasangan terbabit.
Jurucakap syarikat itu berkata, bahawa hanya pasangan itu yang kelibat mereka dirakam dalam konsert berkenaan.
Bagaimanapun, pihak syarikat enggan mengulas lanjut mengenai status semasa Cabot.
Dalam insiden terbabit, vokalis kumpulan Coldplay, Chris Martin dilihat berinteraksi dengan penonton melalui paparan skrin 'kiss cam'.
Kamera itu secara rambangnya memfokuskan ke satu pasangan yang sedang leka berpelukan.
Sebaik menyedari, lelaki terbabit panik dan cepat-cepat melepaskan pelukan sambil cuba berselindung manakala wanita itu menutup mukanya.
"Oh, ini kalau bukan hubungan sulit, mesti mereka sangat pemalu," seloroh Martin sambil disambut dengan sorakan ribuan penonton yang hadir. - REUTERS |
|