"Pastikan tidak jadi Menteri Besar Perlis tersingkat dalam sejarah' - Fadhli Shari
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi - Januari 25, 2026 @ 2:17pm

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari. - Foto arkib NSTP
KUALA LUMPUR : PAS mengingatkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah supaya tidak campur tangan dalam urusan PAS apabila mencadangkan supaya tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat berstatus Bebas.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan ketiga-tiga ADUN PAS itu terhenti keahliannya kerana melanggar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan partinya.
"Menteri Besar Perlis yang baru ini jaga negeri baik-baik cukuplah.
Tak perlu campur tangan urusan parti lain.
"Tiga bekas ADUN PAS itu terhenti keahlian kerana langgar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan parti dan PAS tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini.
"Menteri Besar cukup jaga negeri dan pastikan tidak jadi Menteri Besar Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup sudah itu," katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Semalam, Abu Bakar mencadangkan supaya tiga bekas Adun PAS yang digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.
Beliau berkata, ketiga-tiga bekas ADUN itu, iaitu Ridzuan Hashim (DUN Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (DUN Bintong) dan Saad Seman (DUN Chuping), masih memegang mandat untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, PAS bukan seperti parti lain yang mahu bermain politik dalam menentukan kedudukan dalam politik.
"Kalau PAS nak main politik, enam orang ADUN PAS (yang lain) boleh isytihar 'perang' macam Menteri Besar sendiri sebelum ini pernah isytihar 'perang' kepada kepimpinan Menteri Besar Perlis pada November 2023 kerana tidak dilantik jadi EXCO.
"Tapi itulah, ADUN PAS ini bukan macam Menteri Besar dan parti kami bukan macam parti Menteri Besar. Rakyat lebih utama," katanya.
Selepas tiga ADUN dipecat, PAS kini masih memiliki enam ADUN di Perlis namun kesemua mereka memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan EXCO kerajaan negeri.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2026/01/1501209/pastikan-tidak-jadi-menteri-besar-perlis-tersingkat-dalam-sejarah
|