Butterworth: Seramai 26,000 pengguna di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) disaran menyimpan air bagi kegunaan 24 jam berikutan pelaksanaan kerja penyambungan Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai Kedua di Sungai Dua, di sini, bermula Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, walaupun kerja berkenaan tidak melibatkan gangguan bekalan air berjadual, pengguna diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan air secukupnya sekiranya berlaku perkara tidak dijangka.
"Kawasan terlibat di SPU ialah Sungai Dua manakala SPT meliputi Alma, Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh, Cherok Tokun, Kampung Baru, Kampung Kota, Kota Permai, Machang Bubok, Padang Lalang dan Penanti.
"Selain itu, penduduk di Permatang Pasir, Sungai Rambai, Taman Bukit, Taman Bukit Indah dan Taman Sentosa turut diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga pada Rabu dan Khamis ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihaknya akan mengemas kini perkembangan kerja-kerja penyambungan paip itu melalui laman Facebook rasmi PBAPP dari semasa ke semasa.
Katanya, pengguna yang berdepan masalah berkaitan air dalam tempoh berkenaan boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-255 8255.