Jitra: Lambakan tembikai di pasaran sejak minggu lalu menyebabkan ada peniaga menjual buah itu pada harga murah sehingga RM1 sekilogram (kg) sempena menyambut Ramadan.
Peniaga buah, Muhammad Azizi Azizan, 35, harga itu paling murah yang dijualnya ketika ini dan ia rezeki orang ramai sempena sambutan Ramadan, esok.
Katanya, bekalan tembikai itu diperolehnya dari Terengganu dan Perlis itu dijangka akan bertambah tidak lama lagi.
"Sekarang cuaca panas dan kemarau menyebabkan buah tembikai menjadi tahun ini.
"Ada juga tembikai yang saya jual RM2 sekilo ikut jenis gred tetapi tembikai RM1 lebih mendapat sambutan orang ramai.
"Ramai pelanggan berpuas hati kerana isinya yang merah dan manis serta saiznya besar.
Amat sesuai untuk peniaga minuman atau kedai makan untuk stok bulan puasa ketika ini, " katanya ketika ditemui di gerainya di GBBS Kepala Batas, di sini hari ini.
Muhammad Azizi berkata, sejak dia menjual tembikai pada harga murah Ahad lalu, ramai pelanggan yang datang membeli lebih daripada sebiji disebabkan sambutan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah ini.
Katanya, dia berpuas hati kerana menjual tembikai pada harga paling murah kerana selain berniaga, ia seumpama memberi sedekah.
"Buah tembikai terlalu banyak ketika ini dan lebih baik saya jual murah sebab nak bagi semua orang rasa.
"Kalau stok habis, kami akan tambah lagi setiap hari sehingga habis dijual, " katanya.