Kuala Lumpur: Kira-kira 200,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi baharu JustGO Malaysia untuk sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang diperkenalkan di Lebuhraya Utara-Selatan.
Projek rintis ANPR dilaksanakan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) di kawasan utara membabitkan sembilan tol jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua, pada Januari lalu.
JustGO menerusi kenyataan berkata, PLUS melalui aplikasi JustGO memperkenalkan konsep kebebasan memilih lorong yang membolehkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tol tanpa perlu disesuaikan dengan kaedah pembayaran tertentu.
"Nombor plat kenderaan akan dikesan secara automatik apabila melalui lorong tol dan caj diproses serta dipautkan terus kepada kaedah pembayaran pengguna melalui aplikasi mudah alih berkenaan.
"Bagi menggunakan sistem ini, pengguna hanya perlu muat turun dan mendaftar di aplikasi terbabit. Tiada pemasangan peranti dan kos permulaan dikenakan kepada pengguna," kata kenyataan itu.
Pada Khamis lalu, sistem berkenaan dilancarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Azman Ibrahim dalam perhimpunan bulanan KKR, di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir Mohd Hadzmir Yusoff dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Terdahulu media melaporkan, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan kini boleh menikmati pengalaman pemanduan yang lebih lancar apabila PLUS memperkenalkan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan ANPR.
Sistem berkenaan disokong oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan serta sudut pandangan yang berbeza.
Bagi menggunakan kemudahan ini, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia dan menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit tanpa sebarang kos pendahuluan.
Aplikasi mudah alih itu dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama industri lebuh raya selaras aspirasi kerajaan menyediakan kaedah lebih fleksibel.
Kaunter pengaktifan JustGO disediakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Kedah termasuk kawasan rehat dan rawat (R&R) Gurun serta Hentian Sebelah Juru, bagi membantu pengguna mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut.