Pelajar tingkatan 5 lemas ketika mandi bersama 4 rakan di Sungai Gelam
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Februari 17, 2026 @ 10:33pm

Lokasi pelajar tingkat 5 SM Darul Aman ditemui lemas ketika mandi bersama empat rakan di Sungai Gelam, Langgar, dekat Alor Setar, petang tadi. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Keseronokan lima rakan menghabiskan cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina dengan mandi di Sungai Gelam, Langgar di sini, hari ini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Remaja itu dikenali sebagai Muhammad Aiman Mohd Zaini, 17, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah (SM) Darul Aman dan menetap di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang ketika Muhammad Aiman bersama empat rakannya dari Taman Derga Jaya datang untuk mandi di sungai berkenaan.
"Ketika sedang mandi, rakan mangsa menyedari dia lemas dan tenggelam, sebelum cuba menyelamatkannya tetapi remaja itu tenggelam di tengah sungai berkenaan.
"Rakan mangsa kemudian meminta pertolongan orang awam untuk memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Basri berkata anggotanya yang bertugas di Pusat Kawalan DCC Kota Setar menerima panggilan daripada seorang lelaki jam 6.20 petang, memaklumkan kejadian di Sungai Gelam, Langgar itu.
Katanya, Muhammad Aiman berjaya ditemui oleh pasukan bomba dan penyelamat pada jam 6.41 petang.
"Pemeriksaan luaran ke atas badan mangsa dan mendapati tiada kesan-kesan kecederaan," katanya.
Syed Basri berkata jenazah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pengecaman serta proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Katanya, proses bedah siasat akan dilakukan esok.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/02/1510748/pelajar-tingkatan-5-lemas-ketika-mandi-bersama-4-rakan-di-sungai-gelam
|