MUZZAMIL Soliheen tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami sakit gout. FOTO Arkib NSTP
Seremban: Prosiding perbicaraan kes pemilik syarikat pelancongan dan umrah atas pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan pakej umrah membabitkan kerugian lebih RM115,0000 terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh tidak hadir kerana mengalami sakit gout.
Perkara itu dimaklumkan Peguam, Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 48, kepada Hakim Mohamad Kamil Nizam di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Beliau memaklumkan yang anak guamnya mendapat cuti sakit akibat masalah kesihatan.
"Jam 12.30 tengah malam tadi saya baru dimaklumkan tertuduh yang dia mendapat cuti sakit (MC) hari ini dan esok kerana sakit gout," katanya.
Prosiding hari ini sepatutnya perbicaraan yang berlangsung pada 26 Januari dan 27 Januari ini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 7 dan 8 Julai depan serta meminta pihak pembelaan mengelak penangguhan pada tarikh akan datang memandangkan kes itu berlaku pada 2024.
Pihak pembelaan kemudian memberi jaminan bahawa kes itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, media melaporkan pada 2 Februari 2024, Muzzamil Soliheen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu lelaki berusia 53 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM115,030 pada 23 Januari hingga 30 Januari 2023 di sebuah syarikat di Nilai di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal.
|