|
Kuala Lumpur: Pegawai penguat kuasa yang berasakan amanah yang dipikul terlalu berat dan gagal menahan godaan ketika berkhidmat diminta untuk undur diri dan memberi laluan untuk individu lain yang lebih berani untuk memikul tanggungjawab berkenaan. Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyuarakan amaran keras supaya kelompongan serta kelemahan dalam agensi penguatkuasaan negara diperbetulkan segera. Tegasnya, terdapat individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab itu, sekiranya ada yang gagal untuk membuat keputusan yang berisiko. "Semasa menyampaikan amanat kepada pasukan penguat kuasa negara, saya sekali lagi memberikan amaran dan teguran keras agar segala kelompongan serta kelemahan yang mencemar integriti penguatkuasaan diperbetulkan tanpa berlengah. "Sekiranya amanah yang dipikul dirasakan terlalu berat, atau godaan serta tekanan luar menimbulkan keraguan untuk bertindak tegas dan berprinsip, maka berterus teranglah dan berilah laluan kepada individu lain yang lebih bersedia, berani dan berintegriti untuk memikul tanggungjawab ini.
"Harus diingat, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar, walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko," katanya dalam satu kenyataan di media sosial, di sini hari ini. Perdana Menteri menegaskan, perbuatan menyeludup, rasuah serta kegiatan gelap yang dilindungi oleh penguat kuasa adalah satu pengkhianatan kepada negara dan setiap agensi penguat kuasa perlu melakukan pembaharuan dan perubahan untuk membendung jenayah itu. "Jika ia berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang, ia adalah pengkhianatan terhadap negara dan rakyat. "Saya juga menegaskan bahawa tiada lagi ruang untuk sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah. Tindakan tegas mesti diambil tanpa memilih bulu," katanya. Katanya, rakyat hari ini menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong. "Justeru, setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara," katanya. Sumber – Harian Metro |

ADVERTISEMENT