|
|
Oleh KOSMO!
22 Februari 2026, 3:48 pm
Grafik yang dikongsikan oleh PHM di media sosial berkenaan gerai yang perlu dielakkan ketika mengunjungi bazar Ramadan.
PETALING JAYA – “Jangan tertipu dengan sarung tangan hitam. Kalau sarung tangan pegang makanan, pegang duit, pegang kain lap, itu bukan bersih, itu pindah kuman dari satu benda ke satu benda”.
Demikian pesanan oleh Public Health Malaysia (PHM) mengenai ‘tanda-tanda’ yang perlu dielakkan ketika mengunjungi bazar Ramadan.
Menurut PHM, bahaya (penyediaan makanan) selalunya tidak kelihatan kerana ia sering dilihat sebagai perkara kecil yang biasa dilakukan.
“Kita ingat cirit-birit sebab makanan pedas atau salah angin. Tapi banyak kes bermula dengan perkara paling kecil, kain lap hitam, tangan yang sama, ais yang kotor, barang kemas besar yang memerangkap kotoran.
“Kalau tengah hari makanan dah siap terhidang, itu tanda ia dah lama terdedah suhu bilik. Bila lama sangat, bakteria mudah membiak dan makanan yang nampak elok boleh jadi punca cirit-birit malam nanti,” pesan PHM di media sosial.
Keadaan tong ais juga tidak seharusnya dipandang ringan menurut PHM kerana jika berdaki, ais pun boleh menjadi pembawa kuman.
“Kalau anda sayang perut sendiri dan anak-anak, pilih gerai yang masak depan mata, makanan ditutup dan ais dari tong bersih.
“Tangan berasingan untuk duit dan makanan, kain lap diganti selalu, dan peniaga tak kendali makanan dengan cincin dan gelang besar,” tambah PHM. – KOSMO! ONLINE
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|