
KUCHING: Seorang wanita berusia 47 tahun mengalami kerugian lebih RM1.5 juta akibat penipuan melalui panggilan telefon atau 'phone scam', baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu (gambar) berkata, mangsa telah diperdaya oleh suspek sejak 23 Disember 2025 selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disambungkan ke panggilan yang kononnya melibatkan pejabat polis lain serta pihak mahkamah.
“Suspek seterusnya memaksa mangsa membuat sebanyak 18 transaksi pindahan wang ke tujuh akaun berbeza sebelum mangsa menyedari penipuan itu pada 1 Februari 2026,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara boleh dikenakan antara satu hingga sepuluh tahun, sebat, dan denda.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan segera menamatkan panggilan mencurigakan serta tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau perbankan kepada pemanggil yang tidak dikenali,” ujarnya.
Orang ramai juga digalakkan menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan serta menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang mencurigakan.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh dibuat melalui Hotline JSJK Sarawak di talian 011-62890089 atau e-mel [email protected] serta Hotline 997 National Scam Response Center (NSRC) yang beroperasi 24 jam.
Sumber : Utusan Borneo
|