
Kapal kargo asing ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah dan menggunakan peralatan keselamatan tamat tempoh. - Gambar Maritim Malaysia
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri berjaya menahan sebuah kapal kargo asing yang didapati melanggar beberapa peraturan perkapalan ketika beroperasi di perairan Miri, semalam.
Penahanan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia sekitar jam 11.32 pagi Ahad, ketika operasi bersepadu OP PERMAI 01/19, OP Tiris 3.0 dan OP Pelantar Merah 3/2023 di kedudukan kira-kira 3.8 batu nautika barat laut Kuala Baram.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan ialah gagal mengemukakan dokumen pendaftaran kapal, lesen perkapalan dalam negeri yang telah tamat tempoh serta penggunaan peralatan keselamatan iaitu rakit keselamatan yang telah melepasi tempoh sah.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh sembilan kru terdiri daripada lapan warga Bangladesh dan seorang warga China," katanya dalam satu kenyataan.

Sembilan kru warga asing yang ditahan bersama kapal kargo diiringi ke kawasan bersauh di perairan Miri bagi tujuan siasatan lanjut. - Gambar Maritim Malaysia
Susulan penahanan itu, vesel bersama kesemua kru ditahan dan diiringi ke kawasan bersauh di perairan Miri sekitar jam 2.00 petang bagi tujuan siasatan lanjut.
Sehubungan itu, Mohd Khairol menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
"Setiap vesel yang beroperasi di perairan Malaysia wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja membahayakan keselamatan pelayaran, malah boleh mengancam keselamatan perairan negara," katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-649111 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Sumber : Utusan Borneo
|