|
View: 14709|Reply: 0
|
Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bukan platform beri kewarganegaraan - Tiong King Sing
[Copy link]
|
|
|
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah membuka peluang untuk ekspatriat mendapat kewarganegaraan menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Sebaliknya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, inisiatif strategik itu adalah program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang alik yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh tertentu.
"Setakat hari ini, program MM2H tidak pernah memberi permohonan kewarganegaraan.
"Taraf pemastautin tetap (MYPR) adalah program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang alik atau 'multiple entry visa' yang membolehkan warga asing tingal di Malaysia bagi tempoh lima hinga 20 tahun.
"Ia (dikelaskan) melalui empat kategori utama, platinum untuk 20 tahun, gold bagi 15 tahun, silver untuk lima tahun dan zon ekonomi khas 10 tahun," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN- Dungun) yang ingin tahu sama ada terdapat pemohon MM2H yang mendapat kewarganegaraan melalui inisiatif itu.
Beliau juga ingin tahu jumlah rumah yang terjual kepada warga asing melalui program itu sehingga 2025.
Menjawab persoalan itu, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu menjelaskan, setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 744 peserta MM2H direkodkan membeli kediaman di negara ini, manakala 2,637 peserta lain masih melalui proses pembelian.
Ini katanya termasuk sedang memuktamadkan perjanjian jual beli dan mengenal pasti lokasi kediaman yang bersesuaian.
Beliau turut memberitahu, China merekodkan pembelian kediaman di Malaysia tertinggi iaitu 304, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34).
Negara lain yang turut merekodkan pembelian menerusi MM2H adalah Australia membabitkan 29 pemohon, Bangladesh (19), Korea Selatan (15), selain Indonesia dan Jepun (14).
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|