
TANGKAP: Salah seorang suspek yang berjaya ditahan untuk membantu siasatan cubaan penipuan dokumen pengenalan.
SEMPORNA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan di daerah ini, kelmarin, bagi membantu siasatan cubaan penipuan dokumen pengenalan.
JPN Sabah menerusi kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan, kedua-dua suspek dipercayai memberikan maklumat palsu sebagai penganjur permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Kinabatangan sebelum ini.
Menurut kenyataan itu, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi apabila sepasukan pegawai penguat kuasa JPN menahan seorang lelaki di pejabat JPN Daerah Semporna.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit dalam permohonan kad pengenalan di Kinabatangan pada 2 Ogos 2016 dengan menggunakan maklumat tidak benar.
“Kira-kira sejam kemudian, seorang lagi lelaki ditahan di lokasi sama kerana dipercayai melakukan kesalahan serupa dengan memberikan maklumat palsu bagi permohonan kad pengenalan pada 3 April 2017.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya
JPN Sabah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan sistem pendaftaran negara.
“Penguatkuasaan serta pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras penipuan, pemalsuan maklumat serta sebarang cubaan mencemar integriti sistem pendaftaran negara,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|