|
|
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan menafikan berlaku konflik dalaman antara PN dan PAS, susulan ketidakhadiran Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada perbincangan 'pra-majlis' di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, malam tadi.
Sebaliknya, Punithan berkata, hubungan antara semua parti komponen dalam PN dengan PAS kekal utuh, malah semangat setiakawan tetap diberi keutamaan dalam sama-sama mengorak langkah menentukan hala tuju gabungan itu.
"Semua okay, PN stabil dan 'steady'. PAS tak ada tak apa, tapi kita akan bincangkan (hasil perbincangan malam ini dengan PAS).
"Tak adalah (pergolakan dengan PAS), we are all good in discussion (perbincangan antara semua parti komponen lancar).
"Selepas ini kita akan jumpa PAS, jadi tak memang tidak ada petanda buruk (perpecahan PN), we are all standing for the next general election (kita tetap akan bersama untuk hadapi pilihan raya seterusnya)," katanya kepada media, di sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebaik selesai perbincangan membabitkan ketua parti komponen dalam PN di kediaman Presiden BERSATU di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, di sini.
Selain Muhyiddin dan Punithan, pemimpin parti komponen PN yang hadir ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Hanya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disahkan tidak hadir pada pertemuan itu, namun Punithan ketika ditanya, hanya menjawab situasi itu 'biasa' dan tidak berkaitan dengan pergeseran dalaman PN.
Tambah Punithan, PAS tidak memperincikan sebab ketidakhadiran Abdul Hadi.
" AS tidak beritahu sebab apa tidak datang, tetapi tak mengapa, bagi kami ini normal dalam politik, mereka tetap 'our brothers', setiakawan masih tinggi.
"Kami (semua parti komponen), Gerakan, BERSATU, malah MIPP masih dalam perbincangan dengan PAS.
"Kami tidak ada sebarang isu sebenarnya, cuma untuk ke hadapan, kita nak semua (pemimpin tertinggi parti) setuju (dengan hala tuju baharu) dan jelas mengenainya," katanya.
Ditanya sama ada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, Punithan hanya menjawab, ada kemungkinan ia akan dijalankan segera jika mendapat persetujuan semua parti komponen dalam PN.
Sementara itu, Dominic ketika ditemui di luar kediaman Muhyiddin, hanya menjawab 'semuanya okay' ketika ditanya butiran perbincangan dalam pertemuan terbabit.
Sumber : Berita Harian |
|