|
View: 20374|Reply: 0
|
Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan baharu bukan kaleng-kaleng
[Copy link]
|
|
|
ISU integriti membabitkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap pegawai berpangkat tinggi memberi tamparan besar kepada imej ATM selama ini disanjung tinggi masyarakat.
ATM bukan sekadar institusi keselamatan negara, malah simbol disiplin, amanah dan pengorbanan. Justeru, sebarang isu mencalar nilai teras ini berisiko menjejaskan keyakinan awam serta moral anggota sedang berkhidmat.
Dalam suasana ini, perkembangan terkini menyaksikan kekosongan dua jawatan strategik peringkat tertinggi ATM, iaitu Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) akibat isu semasa dan persaraan awal, meletakkan institusi ini di bawah perhatian umum.
Semua mata kini tertumpu kepada proses pengisian kedua-dua jawatan penting itu, dilihat penentu hala tuju, kestabilan dan pemulihan imej ATM.
Harapan masyarakat, warga tentera dan veteran amat jelas. Individu bakal dilantik bukan sahaja mesti memiliki pengalaman, kecekapan dan kepemimpinan strategik, tetapi lebih utama bebas sebarang salah laku, bersih, berintegriti dan amanah. Malah, dalam konteks semasa, bukan sekadar realiti integriti diambil kira, bahkan persepsi integriti.
Pemimpin dipilih tidak seharusnya dilihat terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang isu boleh menimbulkan keraguan terhadap nilai amanah dan tadbir urus. Ini kerana persepsi awam terhadap kepemimpinan adalah faktor kritikal dalam organisasi ketenteraan.
Jika pelantikan dibuat tanpa ambil kira sensitiviti ini, usaha ATM yang dalam proses memulihkan dan meningkatkan imej berisiko akan terjejas.
Lebih membimbangkan, risiko ketidakpercayaan terhadap pemimpinnya boleh meningkat, sekali gus memberi kesan negatif kepada disiplin, kesetiaan dan semangat anggota akar umbi.
Dalam konteks keselamatan negara semakin mencabar, ATM memerlukan kepemimpinan bukan sahaja tegas dan berwawasan, tetapi mampu menjadi teladan kepada anggota.
Sejarah membuktikan kekuatan angkatan tentera tidak hanya terletak pada kelengkapan dan strategi, bahkan kepercayaan terhadap pemimpinnya.
Proses lantikan perlu teliti, telus
Oleh itu, proses pemilihan dan pelantikan ke jawatan PAT dan KPPP wajar dilaksanakan penuh ketelusan, penelitian dan kebijaksanaan. Ia bukan hanya mengisi kekosongan jawatan, bahkan ujian besar terhadap komitmen negara memartabatkan integriti, akauntabiliti dan kepemimpinan beretika dalam institusi benteng pertahanan terakhir negara.
ATM sudah lama berdiri sebagai institusi dihormati dan dipercayai. Kini, saatnya untuk memastikan kepercayaan itu bukan sahaja dipulihkan, tetapi diperkukuh semula menerusi kepemimpinan bersih, berintegriti dan diyakini seluruh rakyat.
Pada masa sama, perbincangan meluas di media sosial oleh segelintir netizen turut mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap isu integriti kepemimpinan ATM. Kes membabitkan seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang pernah diluluskan untuk menjawat jawatan PAT, namun kemudian mengambil opsyen persaraan awal dan seterusnya didakwa di mahkamah bersama isteri ketiga, menjadi antara topik hangat diperkatakan.
Beberapa hantaran turut mengaitkan nama lain didakwa mempunyai hubungan rapat dengan individu berkenaan.
Demikian juga kes membabitkan bekas PAT, yang meskipun kelihatan ada prinsip dan pendirian disuarakan pihak empunya diri, episod perbicaraan dalam mahkamah kelak, akhirnya akan menjawab sama ada wujud kebatilan atau kebenaran.
Walaupun dakwaan di media sosial tidak boleh diterima tanpa pengesahan dan proses perundangan sah, ia tetap menunjukkan keperluan mendesak untuk siasatan dalaman menyeluruh, bebas dan berintegriti bagi menilai sama ada wujud sebarang isu integriti atau sebaliknya.
Pendekatan berprinsip ini penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan, malah membantu memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan imej ATM tidak terus dipandang sinis akibat persepsi negatif tidak ditangani secara telus dan profesional.
Sudah terang lagi bersuluh, perbuatan jenayah berkaitan integriti dan moral, terutama rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM tidak boleh dianggap sekadar penyelewengan atau salah laku pentadbiran, sebaliknya ia ancaman besar terhadap keselamatan negara.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Sesi Penerangan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat, kelmarin tegas mengingatkan 'lebih teruk negara ini berisiko untuk hancur dan lumpuh jika musuh ATM itu adalah orang dalam sendiri'.
Pihaknya melihat rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kegelinciran integriti sebagai perbuatan keji, hina dan tidak bermoral, selain sangat bercanggah dengan sikap dan budaya sebenar Kementerian Pertahanan (MINDEF).
"ATM bukan kolam rasuah dan ATM juga bukan berfungsi melalui ekosistem nasional yang dipacu dengan imbuhan dan ganjaran keji dan tidak halal.
"Elemen buruk (seperti rasuah dan salah guna kuasa) bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat dan menjejaskan persepsi terhadap keunggulan, kehebatan dan keanggotaan ATM, malah ia mengkhianati tujuan moral sebuah angkatan persenjataan negara yang berdaulat," katanya.
Penulis adalah penganalisis isu semasa
Sumber : Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|