Kasihan Rayyan, sejak lahir bergantung hidup pada mesin
Noorazura Abdul Rahman - Januari 27, 2026 @ 12:11pm

Muhammad Rayyan Mikail bersama ibu, Annur Syakirah Mahazir. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
KUALA NERANG: Ketika kanak-kanak lain bebas berlari dan bermain, hidup Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid, 12, pula bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan sejak dilahirkan kerana menghidap penyakit sangat kompleks.
Dia menderita jantung berlubang, injap bocor, saluran darah serta jantung terbalik, selain paru-paru rosak dan tekanan paru-paru tinggi sejak lahir apabila mengalami jangkitan kuman yang teruk.
Ibunya, Annur Syakirah Mahazir, 30, ketika ditemui di Kampung Padang Gelanggang, di sini, berkata keadaan anaknya sejurus lahir berada pada tahap kritikal, sangat lemah dan sukar bernafas.
"Waktu itu doktor maklumkan keadaan Rayyan 50-50, saya hanya mampu berdoa, sedih memikirkan keadaan anak.
Namun saya perlu kuat untuk dia.
Rayyan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama empat bulan dari usianya tiga bulan," kata ibu tiga anak ini.
Sejak itu, tambahnya, hospital menjadi rumah kedua mereka, malah Rayyan juga pernah dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pembedahan saluran pernafasan sebelum ditempatkan di wad HSB untuk tempoh lama.
"Doktor beritahu hanya tiga daripada empat bilik jantung Rayyan berfungsi, satu lagi rosak dan perlu dirawat sepanjang hayat.
Dia perlu rawatan sokongan menggunakan mesin oksigen dan mesin CPAP untuk terus hidup.
"Rayyan kini mengikuti program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, namun hanya mampu bertahan antara lima hingga enam jam tanpa alat bantuan pernafasan.
Kalau dia terlalu lemah di sekolah, cikgu akan hubungi kami dan kami perlu ambil dia segera," katanya.
Beban dipikul keluarga ini bertambah apabila kedua-dua ibu bapa Rayyan juga orang kurang upaya (OKU) dengan Annur Syakirah hilang pendengaran kekal telinga kiri, manakala suaminya, Mohd Yazid Lazim, 35, buta mata kanan akibat ketidakupayaan penglihatan kekal.
"Saya disarankan pakai alat bantuan pendengaran bernilai ribuan ringgit, deposit pun ratusan.
Jadi saya tangguhkan dulu sebab keperluan Rayyan lebih utama.
Suami hanya ambil upah memotong rumput, meracun kebun, membaiki bumbung rumah dan kerja-kerja lain dengan pendapatan RM800 hingga RM1,000 sebulan.
"Saya menjahit kecil-kecilan di rumah dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan.
Kos bulanan rawatan Rayyan sangat tinggi, susu khas cecah RM500, bil elektrik antara RM200 hingga RM300 sebulan akibat guna mesin, selain itu kos peralatan perubatan pakai buang dan selenggara mesin," tambahnya.
Sebelum ini, katanya, menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM300 dan zakat RM400, namun jumlah itu masih jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan rawatan sepanjang hayat Rayyan.
"Untuk tahun ini kami perlu isi semula borang untuk mohon bantuan berkenaan. Kadang-kadang terpaksa berjimat sampai susu untuk Rayyan pun beli satu atau dua tin sahaja, tapi kami cuba sedaya upaya demi anak," katanya yang boleh dihubungi melalui talian 013-8610858 jika ada pihak berhasrat menyalurkan bantuan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1502002/kasihan-rayyan-sejak-lahir-bergantung-hidup-pada-mesin
|