
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun bagi membantu siasatan berhubung penularan video penemuan cebisan helaian al-Quran yang dikoyak di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dibuat di sebuah premis makan di kawasan Taman Green Hill pada Isnin, kira-kira jam 11.30 pagi.
“Suspek ditahan susulan siasatan terhadap satu video tular di media sosial berkaitan penemuan cebisan helaian al-Quran di atas jalan raya yang menghala ke Jalan Borneo,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Alexson, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Jumaat lepas, sekitar jam 8.40 malam dan dua video berkaitan kejadian telah dimuat naik oleh seorang netizen di aplikasi Facebook.
“Kejadian tersebut turut disahkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan perbuatan itu tidak dilakukan dengan niat mencetuskan provokasi atau ketegangan melibatkan isu 3R.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|