CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 32879|Reply: 0

[Pulau Pinang] Galeri Arkeologi Guar Kepah tarikan pelancongan baharu di Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 27-1-2026 12:53 PM | Show all posts |Read mode
Galeri Arkeologi Guar Kepah tarikan pelancongan baharu di Pulau Pinang

BERNAMA




ANWAR Ibrahim melawat dan mendengar taklimat oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin pada Majlis Pelancaran Galeri Arkeologi Guar Kepah pada 24 Januari lalu. FOTO BERNAMA



Kepala Batas: Galeri Arkeologi Guar Kepah, di sini dijangka menjadi antara tarikan pelancongan baharu yang signifikan di wilayah utara tanah air sekali gus memperkukuh potensi pelancongan berteraskan arkeologi di Pulau Pinang.

Pembangunan galeri itu juga dijangka menghubungkan rantaian pelancongan prasejarah di utara Semenanjung, merangkumi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Lembah Lenggong di Perak, Galeri Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang serta Sungai Batu di Kedah.

Galeri berkenaan akan mempamerkan Penang Woman iaitu rangka Neolitik lengkap pertama yang ditemukan di Malaysia, selain turut mempamerkan tulang-tulang rangka yang sebelum ini disimpan di Belanda selepas berjaya dibawa pulang hasil kerjasama erat Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Luar bersama-sama pihak berkuasa Belanda.

Bagi Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang Clement Liang, pelancongan berteraskan arkeologi bukan asing di luar negara dan pihaknya menjangkakan Galeri Arkeologi Guar Kepah itu akan membuka lembaran baharu pelancongan prasejarah di Malaysia terutama di negeri ini.

Beliau berkata, usaha menjadikan galeri itu sebagai produk pelancongan arkeologi dilihat mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya pengkaji sejarah, pelajar serta penggemar warisan budaya.

"Pendekatan pelancongan berasaskan ilmu termasuk pelancongan arkeologi itu selari dengan trend pelancongan lestari yang semakin mendapat perhatian … pengalaman pelancongan bukan sekadar bersifat rekreasi, tetapi turut memberikan nilai tambah dari segi pengetahuan.

"Galeri itu juga bakal menawarkan pengalaman sejarah dan budaya yang lebih mendalam kepada pengunjung, selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri dan wilayah utara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Liang berkata, sebanyak 60 pemandu pelancong berlesen sudah mengikuti kursus dan latihan khas yang dikendalikan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meningkatkan kefahaman berkaitan sejarah, penemuan arkeologi serta kaedah penyampaian maklumat kepada pengunjung pada tahun lepas.

Katanya, latihan yang diberikan pakar arkeologi di USM amat penting bagi memastikan pemandu pelancong dapat menyampaikan maklumat yang tepat, berfakta dan menarik kepada pengunjung, sekali gus meningkatkan kualiti pengalaman pelancongan di Galeri Arkeologi Guar Kepah.

"Saya dimaklumkan bahawa latihan itu akan diteruskan pada tahun ini dan sebenarnya inilah masanya kita bawa pelancong, terutama pelancong asing untuk mengenali arkeologi di negara kita, setakat ini pengunjung dari beberapa negara seperti Jepun dan Eropah berminat dengan pelancongan arkeologi di sini," katanya dan menambah persatuan berkenaan mempunyai 700 ahli setakat ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan risalah berkenaan Galeri Arkeologi Guar Kepah dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan kepada pelancong asing yang tiba di negeri ini dan dalam masa sama, pihaknya turut mempromosikan tarikan itu secara dalam talian.

Galeri itu katanya, akan memberikan pengalaman baharu kepada pelancong asing, khususnya ke kawasan Seberang Perai dan bukan tertumpu di Georgetown atau kawasan pulau sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan pemandu pelancong dan persatuan pelancongan di negeri berkenaan untuk mempromosikan Galeri Arkeologi Guar Kepah kepada kumpulan sasaran seperti pengunjung domestik membabitkan pelajar sekolah dan universiti serta pelancong antarabangsa yang berminat tentang sejarah dan arkeologi.

"Galeri ini dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari 8 pagi hingga 5 petang dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa tempatan dan RM20 untuk dewasa asing," katanya sambil memaklumkan pas tahunan RM100 turut ditawarkan.



Disiarkan pada: Januari 27, 2026 @ 12:14pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1315874/galeri-arkeologi-guar-kepah-tarikan-pelancongan-baharu-di-pulau-pinang




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-1-2026 06:34 AM GMT+8 , Processed in 0.033786 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list