Edited by Vellfire at 27-1-2026 12:12 PM

Uggah diiringi Sharifah Hasidah disambut meriah pada Program Sarawak Kita Empun 3.0 bersama Wanita PBB Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh baru-baru ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Sarawak terus mencatat transformasi pesat di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg apabila pendapatan negeri meningkat, sekali gus diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kepimpinan Premier Sarawak sejak 2017 telah mengubah landskap pembangunan negeri dalam pelbagai sektor.
“Apabila beliau mengemudi Sarawak bermula dari tahun 2017, Sarawak berubah wajah.
“Pendapatan Sarawak bertambah daripada RM6.7 bilion tahun 2017 kepada RM14.2 bilion tahun 2024. Begitu juga, tahun lepas Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dan merasmikan Program Sarawak Kita Empun 3.0 anjuran Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak bersama Wanita PBB Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh baru-baru ini.
Menjelas lanjut, Uggah berkata, Sarawak kini melangkah ke fasa baharu sebagai pengeksport tenaga elektrik apabila memeterai perjanjian bekalan ke Sabah, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai hab tenaga serantau.
Beliau turut memaklumkan kejayaan pembinaan infrastruktur utama termasuk lapan jambatan yang telah siap tahun lalu serta sembilan lagi yang dijadualkan siap tahun ini.
Beliau turut menegaskan kejayaan pembangunan Sarawak kini adalah hasil kepimpinan yang jelas hala tujunya dan sokongan padu rakyat.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyeru wanita PBB untuk terus berperanan aktif sebagai pemacu pembangunan masyarakat.
Program Sarawak Kita Empun 3.0 menjadi platform memperkukuh ilmu, jaringan dan semangat kebersamaan wanita dalam mendukung agenda pembangunan Sarawak yang inklusif.
Program tersebut menampilkan beberapa sesi perkongsian strategik termasuk oleh Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding yang mengupas topik PRN13: Do’s & Don’ts.
Turut berlangsung sesi Inisiatif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) & Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030) oleh Penolong Bendahari Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ketua Wanita Cawangan PBB Bukit Saban Natasha Nasa Uggah.
Program turut diperkasakan dengan perkongsian senario politik semasa dan inisiatif kerajaan negeri oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Bendahari Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim.
|