CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 41293|Reply: 0

[Sarawak] MPP keluarkan amaran penularan demam denggi

[Copy link]
Post time 27-1-2026 12:02 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 27-1-2026 12:03 PM

Ekoran penularan wabak  di Kensho Townhouse, Pines Square, Batu Kawa dilapor 5 Januari, dijangka berakhir 7 Februari



Tan Kai mengingatkan penduduk untuk ambil langkah segera bagi mencegah penularan demam denggi.

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengeluarkan amaran awam segera berhubung penularan demam denggi  di Kensho Townhouse, Pines Square, Batu Kawa dekat sini yang telah dilaporkan sejak 5 Januari lepas dan dijangka berakhir pada 7 Februari depan dengan syarat tiada kes baharu dikesan.

Pengerusi MPP Kaunselor Tan Kai menerusi satu kenyataan semalam mengesahkan bahawa siasatan mendapati kewujudan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan sekitar sebagai punca penularan wabak tersebut.

MPP kini katanya, bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bagi melaksanakan operasi pengasapan intensif di luar dan dalam premis.

Bagaimanapun, Tan Kai menyuarakan kebimbangan serius terhadap kurangnya kerjasama daripada segelintir penduduk, khususnya yang menolak akses untuk pengasapan dalaman, yang amat penting dalam mengawal penularan denggi.

“Semua penduduk mesti memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kesihatan awam dan melambatkan usaha mengawal wabak,” tegas beliau.

Penduduk amat digesa untuk segera menghapuskan bekas takungan air bertakung di dalam dan di luar rumah, memastikan kebersihan kediaman serta kawasan sekeliling dan menghapuskan semua potensi tempat pembiakan nyamuk.

Penduduk juga dinasihati untuk melakukan semburan aerosol kendiri di dalam rumah sebagai langkah kawalan tambahan serta mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh wabak, terutama pada waktu puncak gigitan nyamuk iaitu awal pagi dan lewat petang.

Jika aktiviti luar tidak dapat dielakkan, gunakan penghalau serangga bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.

Pemilik hartanah yang tidak menetap di kawasan berkenaan diarahkan untuk memeriksa premis masing-masing dengan segera.

Larvisid hendaklah dimasukkan ke dalam perangkap longkang, mangkuk tandas dan tangki simpanan air tandas.

Penduduk yang mengalami simptom seperti demam panas, sakit kepala, sakit badan, loya atau keletihan melampau hendaklah segera mendapatkan rawatan perubatan dan memaklumkan kepada doktor bahawa mereka tinggal di kawasan wabak.

MPP menyeru semua penduduk bertindak secara bertanggungjawab dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melindungi kesihatan awam serta mencegah penularan demam denggi daripada terus merebak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-1-2026 08:41 PM GMT+8 , Processed in 0.474547 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list