Elak rahsia kahwin dua terbongkar, warga tempatan sanggup naik bot bersama PATI Abdul Muhaimin (kanan) menunjukkan gambar tangkapan cubaan menyeludup PATI melalui perairan Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, Pelabuhan Klang. - Foto NSTP/ FAIZ ANUAR
PELABUHAN KLANG: Pasport dipegang oleh isteri pertama. Itu alasan seorang lelaki warga tempatan berasal dari Perak menggunakan jalur belakang secara haram untuk bertemu isteri keduanya yang berada di Medan, Indonesia.
Namun, tindakan menggunakan jalan salah dengan menaiki bot fiber itu membawa padah apabila dia antara dua lelaki tempatan yang ditahan bersama 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam operasi khas awal pagi semalam.
Ketika disoal oleh Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, lelaki itu memberitahu dia pulang ke Medan minggu lalu kerana ingin berjumpa dengan isteri keduanya yang hamil lima bulan.
Bagaimanapun, lelaki berusia 46 tahun itu berkata, isteri pertamanya yang tinggal di Perak tidak mengetahui dia sudah berkahwin seorang lagi dan tindakan menggunakan laluan salah bagi mengelakkan rahsianya berkahwin terbongkar.
"Penahanan bot berkenaan hasil maklumat risikan aktiviti penyeludupan manusia di sekitar perairan Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam. "Pasukan menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang cuba menyeludup masuk jam 12.30 tengah malam pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nahkoda Omar.
"Hasil pemeriksaan bot itu dikendalikan seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun. Seramai 26 PATI warga Indonesia berada di atas bot terbabit terdiri 17 lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan sembilan wanita berusia antara lima hingga 53 tahun.
"Dua lelaki warga tempatan berusia 46 dan 49 tahun turut berada di atas bot berkenaan dan dipercayai pulang ke negara ini melalui laluan tidak sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Selangor, Pelabuhan Utara hari ini.
Sementara itu, Abdul Muhaimin berkata, tangkapan kedua dibuat kira-kira jam 2 pagi semalam membabitkan sebuah bot pom pom di kedudukan sekitar dua batu nautika barat daya kawasan sama. "Pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia berusia 22 hingga 32 tahun yang cuba keluar dari perairan negara ini.
"Pemeriksaan lanjut menemui 24 PATI terdiri 19 lelaki dan lima wanita berusia 22 hingga 64 tahun serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan. Bayi perempuan ini dibawa oleh ayahnya," katanya.
Abdul Muhaimin berkata, siasatan juga mendapati bayaran dikenakan antara RM1,500 hingga RM2,500 seorang bergantung kepada lokasi penghantaran , jarak jauh atau dekat dan sebagainya.
"Semua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui jalan tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) kerana cubaan membawa masuk PATI.
"Semua individu bersama bot yang ditahan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut," katanya.
|