Mangsa dihubungi berhubung dakwaan kes jenayah tidak wujud, sedar ditipu selepas semak di Semak Mule PDRM

KUCHING: Seorang wanita berusia 38 tahun kerugian RM456,000 setelah ditipu seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan pegawai polis berhubung dakwaan kes jenayah tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku pada 5 Disember 2025, ketika mangsa sedang bercuti di rumah keluarganya.
Menurutnya, mangsa telah dihubungi oleh seorang suspek melalui nombor telefon 016-4599918 yang menyamar sebagai kakitangan NSRC, sebelum disambungkan ke talian 011-12487124 mengatakan daripada pihak polis.
“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa kononnya terdapat satu kes jenayah yang dikaitkan atas nama mangsa.
“Mangsa yang terperdaya seterusnya membuat 13 kali transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza atas alasan untuk membersihkan wang miliknya, dengan jaminan wang tersebut akan dipulangkan semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Alexson, mangsa mula sedar dirinya ditipu selepas membuat semakan di portal rasmi Semak Mule PDRM dan seterusnya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Berikutan itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM456,000,” katanya.
Kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Alexson dalam pada itu menasihati orang ramai untuk tidak panik dan menamatkan panggilan mencurigakan dengan segera, selain tidak memberikan sebarang maklumat peribadi serta perbankan kepada pemanggil tidak dikenali.
“Sila hubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan. Orang ramai juga boleh menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang mencurigakan di portal rasmi Semak Mule PDRM di pautan https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.
Katanya, orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui panggilan hotline NSRC 997, mesej atau WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak melalui talian 011-62890089 atau hubungi [email protected].
|