
Edgard (dua kiri) dan yang lain merakam kenangan semasa mengunjungi Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard Kagan di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kehadiran beliau ke kompleks tersebut untuk bertemu secara peribadi dengan Premier Sarawak sebelum menamatkan perkhidmatan diplomatiknya pada 15 Februari depan.
Ditemui pemberita selepas kunjungan tersebut, Edgard berkata, Sarawak mempunyai tempat yang istimewa sejak lawatan pertamanya pada tahun 2014 di mana beliau sentiasa mendapat sambutan baik daripada Kerajaan Sarawak.
"Oleh itu, saya ingin datang sendiri untuk mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak bukan sahaja atas kebaikan dan kerjasama beliau terhadap saya secara peribadi, tetapi juga terhadap Amerika Syarikat.
"Saya juga menyatakan betapa saya menghargai kisah pembangunan Sarawak dan sejauh mana Sarawak telah berubah dalam tempoh 11 setengah tahun sejak pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini," ujarnya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Justeru, Edgard terus menyeru agar Kerajaan Sarawak terus menjadi peneraju serantau dalam tenaga diperbaharui dan ekonomi hidrogen di mana kerjasama dengan sokongan teknologi serta kepakaran syarikat-syarikat AS boleh menjadi pemangkin ke arah tersebut.
Ujarnya, syarikat AS mempunyai kemahiran dan teknologi yang berpotensi menyumbang kepada visi Sarawak, namun keputusan pelaburan bergantung sepenuhnya kepada syarikat masing-masing tanpa campur tangan kerajaan.
"Namun akhirnya, kunci utama adalah untuk Sarawak terus melakukan apa yang telah dilakukan dengan begitu baik, iaitu mewujudkan persekitaran yang menarik pelaburan.
"Ini menunjukkan bahawa Sarawak adalah tempat yang sesuai untuk syarikat bertapak dalam jangka panjang serta terus berani dan berwawasan dalam apa yang ingin dicapai menggunakan dasar-dasar sendiri," jelasnya.
Beliau turut menjelaskan semakin banyak syarikat AS menunjukkan minat untuk melabur dan bekerjasama di Sarawak di mana akan ada pengumuman pelaburan besar pada masa akan datang.
Turut hadir Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Dato Fenny Nuli, Jurucakap Kedutaan James Dewey serta tetamu kehormat lain.
|