Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran parkir kereta Kondominium Tunas Residensi di Bayan Lepas, pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
Penghuni kondo cemas lihat kereta, motosikal terbakar
- Oleh NOOR HASLIZA NUSI
- 27 Januari 2026, 10:42 am
GEORGE TOWN – Penduduk di Kondominium Tunas Residensi di Bayan Lepas di sini, berdepan detik cemas setelah mereka dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan sembilan buah kenderaan yang musnah dijilat api, awal pagi tadi.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, rata-rata penghuni terbabit sedang nyenyak tidur sebelum menyedari kebakaran berlaku di parkir aras bawah perumahan berkenaan.
Kereta dan motosikal terbabit diletakkan secara berdekatan dan kesemua pemiliknya tidak sempat menyelamatkan kenderaan mereka disebabkan keadaan api yang marak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.59 pagi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kebakaran.
Menurutnya, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba II, Azrul Khairi Abu bakar.
“Kebakaran melibatkan lima buah kereta dan empat motosikal dengan anggaran peratusan kemusnahan keseluruhan akibat kebakaran sebanyak 80 peratus.
Namun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.
“Kebakaran telah dapat dipadamkan pada pukul 6.08 pagi tadi dan menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ sehingga selesai.
Seterusnya, lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2026/01/27/penghuni-kondo-cemas-lihat-kereta-motosikal-terbakar/
|