Edited by Vellfire at 27-1-2026 11:04 AM

TANGKAP: Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Seorang lelaki yang bertindak mengamuk dan mengancam penduduk kampung berjaya ditahan dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, semalam.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) berhubung seorang lelaki bertindak agresif.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota MPV dengan bantuan dua lagi kenderaan peronda dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek terbabit.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan ketika kejadian, termasuk pemutar skru, pisau pemotong kertas, gunting serta sebatang besi.
“Semakan melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek adalah individu dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan, tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, semua barang terbabit dirampas dan suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri jika berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan awam.
|