Polis sudah ambil keterangan ahli keluarga remaja jatuh tingkat 10
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Januari 26, 2026 @ 4:53pm

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake. Gambar fail
GEORGETOWN: Remaja perempuan berusia 15 tahun yang terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Gelugor di sini, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, berkata mangsa sudah selesai menjalani pembedahan semalam, namun masih ditempatkan di ICU hospital itu.
"Polis juga sudah ambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa berhubung kejadian itu.
"Hasil siasatan polis setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kes terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.
Swee Sake berkata, siasatan mendapati mangsa terjatuh dari bilik tidur di tingkat 10 pada jam 1.05 tengah hari sebelum ditemukan dalam keadaan terbaring di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
"Mangsa yang parah dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut.
"Orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sementara pihak polis meneruskan siasatan lanjut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1501709/polis-sudah-ambil-keterangan-ahli-keluarga-remaja-jatuh-tingkat-10
|