KULIM: Pekerja pemasaran bengkel kenderaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bapa dan dua anak kecilnya dalam kejadian pada 18 Januari lalu.
Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Proton S70 secara melulu sehingga melanggar kereta Perodua Viva dan menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd Suroddin, 25, dan dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, serta Muhammad Affan Mikhael, 2.
Kejadian itu berlaku di Jalan Kulim–Mahang di sini, kira-kira jam 5 petang pada 18 Januari lalu.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda maksimum RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal.
Pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 terhadap tertuduh, namun peguamnya memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM3,000 sebulan dan menanggung isteri tidak bekerja serta anak berusia dua tahun.
Nur Hamizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi proses serahan dokumen.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan pasport antarabangsanya diserah kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.
Tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Kulim.
Sebelum ini, media melaporkan kemalangan tragis membabitkan tiga mangsa berlaku apabila Proton S70 dipandu tertuduh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Perodua Viva.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas dalam parit di sebelah kiri jalan sebelum Proton S70 terbakar.
Ketika kejadian, mangsa bersama dua anaknya dikatakan dalam perjalanan menjemput isterinya di tempat kerja di Sungai Ular di sini, sebelum nahas berlaku.