Arkitek JKR didakwa tuntut elaun perjalanan palsu
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Januari 26, 2026 @ 12:36pm

Anggota SPRM mengiringi Suhaili (tengah) yang didakwa atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu di Mahkamah Alor Setar. NSTP/ WAN NABIL NASIR.
ALOR SETAR: Seorang arkitek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM1,494.50 bagi menghadiri acara rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2024.
Bagaimanapun, tertuduh, Suhaili Othman, 55, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Arkitek JKR Kedah didakwa dengan niat memperdaya prinsipal mengemukakan dokumen tuntutan palsu elaun perjalanan kenderaan sendiri bagi Jun 2024 berjumlah RM894.50.
Tuntutan itu dibuat ketika tertuduh menghadiri Mesyuarat Arkitek JKR Malaysia di Melaka pada 11 Jun hingga 14 Jun 2024, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat memperdaya prinsipal mengemukakan dokumen tuntutan palsu elaun perjalanan gantian kapal terbang bagi Julai 2024 berjumlah RM600.
Tuntutan itu dibuat ketika tertuduh menghadiri Sesi Perbincangan Bersama Datuk Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korparat (CDPK) pada 15 Julai hingga 16 Julai 2024, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.
Berikutan itu, bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atika Ab Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Durratul 'Ain Mahmud Morshidi.
Pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 ke atas tertuduh, namun Yusmadi meminta ia dikurangkan kepada antara RM2,000 hingga RM3,000 berikutan tertuduh menanggung empat anak bersekolah dan seorang isteri.
Yusmadi turut memaklumkan tertuduh pada mulanya enggan melantik peguam bagi kes ini, dengan lantikan hanya dibuat pada saat akhir secara probono atau percuma.
Mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 berserta seorang penjamin dan tarikh 4 Mac depan bagi sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1501535/arkitek-jkr-didakwa-tuntut-elaun-perjalanan-palsu
|