CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 32160|Reply: 0

[Kedah] Tekad pelihara warisan, Md Isa gigih bertukang pada usia 84 tahun

[Copy link]
Post time 19-2-2026 10:21 PM | Show all posts |Read mode
Tekad pelihara warisan, Md Isa gigih bertukang pada usia 84 tahun

Noorazura Abdul Rahman[email protected]





Md Isa Said,84, membuat hulu cangkul di gerai miliknya di Kampung Charuk Kit, simpang tiga Rimba Takwa, di sini . FOTO Noorazura Abdul Rahman




Sik: Usia Md Isa Said sudah menjangkau 84 tahun, namun kudratnya masih gagah memegang golok untuk mengukir hulu cangkul bagi memenuhi tempahan pelanggan.

Minat mendalam terhadap kraftangan kayu dan kerja pertukangan dipupuk sejak lebih 40 tahun lalu menjadi pendorong dirinya untuk terus berkarya walaupun penglihatan dan pendengarannya semakin berkurang dimamah usia.

Sebelum ini Md Isa bekerja sebagai tukang kebun di beberapa sekolah di daerah ini sebelum bersara pada usia 54 tahun.

"Lepas pencen saya tak mahu duduk diam.

Saya memang minat kerja kayu sejak kanak-kanak lagi, jadi saya hasilkan hulu cangkul dan parang serta barang lain untuk tambah pendapatan.

"Saya tak boleh duduk saja di rumah, rasa badan lemah, jadi lebih baik bekerja dan menjual barang di depan rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Charuk Kit, simpang tiga Rimba Takwa, di sini .

Bapa kepada empat anak ini berkata, pada awalnya dia hanya membuat peralatan untuk kegunaan sendiri dan jiran terdekat sebelum menerima lebih banyak tempahan daripada penduduk sekitar.

Katanya, sebelum ini dia berniaga di pasar namun memerlukan kos tinggi kerana perlu membayar kereta sewa untuk mengangkut barangnya.

"Dulu ada orang tolong angkut barang, tapi sekarang dia sakit.

Barang pula banyak, jadi saya buat sendiri setakat mampu.

"Sejak dua tahun lalu saya berniaga di depan rumah, Alhamdulillah ramai yang singgah beli.

Saya hasilkan barang dalam sehari ikut kemampuan, kalau rasa tak larat saya rehat," katanya yang memulakan kerja seawal 8 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Antara barangan yang dihasilkan termasuk parang, golok, pisau toreh, sudip kayu, hulu kapak, hulu cangkul, kayu pemotong ikan, tongkat serta tabung buluh.

Datuk kepada lapan orang cucu ini berkata, dia tidak menyangka hasil tangannya turut menarik perhatian pelancong luar negara termasuk dari Korea, Jepun dan Singapura yang singgah membeli sebagai cenderamata.

Katanya, secara purata jualannya mencecah RM300 sehari dengan keuntungan antara RM50 hingga RM60 bergantung kepada jumlah tempahan.

Ketika ditanya bagaimana dia menjaga kesihatan badan, Md Isa berkata dia hanya makan nasi sekali sehari dan gemar menikmati ulam pahit serta bersyukur tidak menghidap penyakit kronik.

Md Isa berkata selagi kudratnya masih ada, selagi itu dia akan terus mengukir demi memastikan warisan pertukangan kayu tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, generasi muda kini kurang berminat mempelajari kemahiran pertukangan kayu malah anak-anaknya juga tidak berminat.



Disiarkan pada: Februari 19, 2026 @ 3:26pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1324437/tekad-pelihara-warisan-md-isa-gigih-bertukang-pada-usia-84-tahun




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2026 05:22 AM GMT+8 , Processed in 0.038639 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list