|
|
Kuala Lumpur: Kepulangan Norida Akmal Ayob, 45, amat dinantikan ahli keluarganya yang sudah lama berharap wanita itu kembali ke tanah air.
Ibu saudaranya, Umi Kalsum Ahmad, 67, berkata, dia dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Shahnizam Basri, 41, yang berjaya menghubungi wanita itu.
"Anak maklum Norida ada berhubung dengannya. Ketika itu, Norida juga maklum pada kami yang dia tiada duit sebelum kami kirim wang kepadanya.
"Saya ada tanya khabar Norida dan dia maklum dia dalam keadaan baik. Saya tidak fikirkan perkara buruk berlaku padanya memandangkan dia tiada depan mata," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Umi berkata, selepas beberapa tahun kemudian, Norida meluahkan hasrat kepadanya untuk kembali ke tanah air bersama anaknya.
"Norida tanya pada saya cara untuk balik Malaysia dan dia juga kongsi pengalamannya didera suami sepanjang perkahwinan mereka.
"Saya cari jalan untuk bawa Norida balik dan dimaklumkan untuk menghubungi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong.
"Saya kemudian hantar surat kepada Datuk Seri (Shamsul Anuar) pada Ogos tahun lalu. Akhirnya, Norida sudah kembali ke pangkuan kami," katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Shamsul Anuar, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi lain termasuk di Indonesia atas bantuan membawa balik Norida.
"Ketika ini, Norida tinggal bersama kami di Kampung Bukit Sapi, Lenggong, Perak, memandangkan dia anak tunggal yang sudah kehilangan ibu bapa. Bapanya meninggal dunia ketika dia masih dalam kandungan, manakala ibunya meninggal dunia ketika dia baru berkahwin.
"Sejujurnya, saya lihat banyak perubahan pada Norida bukan saja dari segi fizikal tetapi juga perwatakan dirinya.
" engalaman dia yang lama menetap di Lombok menyebabkan dia bertutur menggunakan dialek Indonesia, manakala anaknya, Nur Fatin Akmadiana (20), masih kurang faham percakapan kami," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Norida selamat dibawa pulang ke tanah air, semalam, selepas 18 tahun terpisah daripada keluarganya.
Sumber: Harian Metro |
|