Kepala Batas: Orang ramai mengambil kesempatan mengunjungi Jualan Rahmah bergerak di tapak Karnival Mahabbah di Bertam, di sini untuk membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Tinjauan mendapati mereka mula beratur seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan barangan seperti beras, minyak masak paket, gula, sardin dan pelbagai item lain yang dijual lebih murah antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Suri rumah, Naimah Mohamad Hamidi, 28, berkata dia yang berdepan musibah kehilangan rumah akibat kejadian kebakaran Khamis lalu, datang membeli beberapa barangan keperluan bersama ibunya, Azliyaton Ali 51 yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
"Saya sekarang menumpang di rumah mak bersama suami dan seorang anak lelaki berusia dua tahun.
"Memang lega sangat bila ada jualan murah macam ini sebab sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan beban suami, ditambah dengan musibah yang menimpa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini
Bagi Noraini Ahmad,45, yang juga suri rumah sentiasa mengunjungi mana-mana Jualan Rahmah yang diketahuinya bagi mencari jalan menjimatkan perbelanjaan dapur.
"Bila beli di kedai, pasar raya harga agak mahal sikit jadi bila ada Jualan Rahmah boleh jimat kerana banyak diskaun, tambah kita nak puasa dan boleh beli barang buat stok," katanya.
Sementara itu, penganjur karnival, Zaini Aboo Hassan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menganjurkan Jualan Rahmah itu disamping memberikan RM50 baucar pembelian kepada 50 penerima terdiri daripada asnaf serta ibu tunggal yang telah melepasi tapisan ditetapkan.
"Jadi, yang mendapat baucar ini, dia boleh pilihlah apa yang keperluan dia untuk sambut Ramadan sama ada nak beli beras, telur ayam dan sebagainya dengan harga murah," katanya.