Georgetown: Dua kereta dihempap pokok tumbang merentangi jalan dalam kejadian di Jalan Mount Erskine, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, tiga individu yang menaiki kenderaan berkenaan terselamat dan berjaya keluar dari kereta masing-masing.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 12.08 tengah malam.
Katanya, tugas penyelamatan membabitkan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati insiden membabitkan sebatang pokok yang tumbang menghempap dua kereta iaitu jenis Perodua Viva dan Perodua Bezza.
"Pasukan penyelamat dengan berpakaian pelindung diri lengkap (PPE) memotong pokok menggunakan peralatan khas bagi memastikan ia tidak menjadi halangan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut John berkata, dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva dan seorang lagi yang juga pemandu Perodua Bezza berjaya keluar dalam keadaan selamat daripada kenderaan semasa kejadian.
"Operasi turut dibantu PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.29 pagi.