Penang mara ke separuh akhir Piala Cabaran
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Februari 14, 2026 @ 7:56pm

Pemain Penang FC meraikan gol Douglas Coutinho ketika berdepan Kelantan Red Warrior pada suku akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, Georgetown. Penang menang 1-0. – Foto Liga Bolasepak Malaysia
GEORGETOWN: Penang FC mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menyingkirkan Kelantan Red Warrior (KRW) 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, di sini sebentar tadi.
Gol tunggal jaringan penyerang import dari Brazil, Douglas Coutinho pada minit ke-81 sudah memadai untuk memastikan kemaraan skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail dengan agregat 1-0.
Lebih dramatik, bola tandukan kencang pemain gantian itu terlebih dahulu singgah mengenai palang sebelum melantun masuk sekali gus memperdayakan penjaga gawang KRW, Shafiq Afifi Suhaimi yang gagal membaca arah pantulan bola.
Meskipun berbeza taraf, KRW yang bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini menampilkan aksi kompetitif terutama menerusi gandingan Wesley Barnaske, Emmanuel Mbarga dan Phillip Dandada yang memaksa kem tuan rumah berhempas pulas sehingga tamat perlawanan untuk mengekalkan kelebihan.
Penang kini menanti pemenang antara Kelantan The Real Warrior atau Imigresen FC yang dijadual membuat perhitungan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Isnin ini bagi menentukan lawan mereka pada separuh akhir.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/02/1509688/penang-mara-ke-separuh-akhir-piala-cabaran
|