Kuala Lumpur: Di sebalik perdebatan mengenai manfaat perubatan, realiti pahit yang menyelubungi penggunaan ketum dan ganja dalam masyarakat hari ini jauh lebih membimbangkan.
Bukan sekadar mengubah 'mood', kedua-dua bahan ini diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya di bawah Dasar Dadah Negara kerana impak psikoaktifnya yang mampu merantai fizikal dan psikologi pengguna dalam kitaran ketagihan yang sukar diputuskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid, menegaskan bahawa ketagihan ini bukan sahaja merosakkan kesihatan individu, malah menjadi 'bom jangka' kepada institusi keluarga dan produktiviti negara.
Beliau berkata, penagihan tegar bahan ini sering kali menjadi punca utama kegagalan tanggungjawab sosial.
"Apabila seseorang terjerumus dalam penagihan, mereka hilang keupayaan untuk berfungsi sebagai ketua keluarga atau pekerja yang efisien.
"Inilah punca berlakunya pelbagai pelencongan sosial termasuk jenayah, keganasan rumah tangga, pengabaian kanak-kanak, serta kebejatan akhlak yang akhirnya memusnahkan masa hadapan kerjaya individu," ujarnya.
Lebih merisaukan, pengambilan ganja secara tidak terkawal terbukti membawa kepada gangguan mental jangka panjang sehingga memerlukan rawatan psikiatri intensif.
"Bagi ketum pula, kajian sosial di utara Semenanjung menunjukkan trend membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah yang menghadapi masalah keciciran dan gangguan pembelajaran yang serius," katanya.
Menyentuh soal kegunaan perubatan, Dr. Zaki menegaskan bahawa dunia perubatan profesional masih belum mengesahkan manfaat klinikal ketum secara rasmi.
"Jika benar ada nilai perubatan, biarlah ia dikendalikan oleh pakar profesional melalui preskripsi yang ketat.
"Membiarkan bahan ini diakses secara bebas oleh orang awam adalah satu perjudian berbahaya, terutama terhadap keselamatan kanak-kanak. Tanpa kawalan, ia hanya akan disalahguna untuk tujuan rekreasi semata-mata kerana kesan khayalnya," tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, sinar baharu muncul melalui reformasi perundangan.
"Kerajaan melalui Agensi Antidrog Kebangsaan (AADK) melakukan pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 2024) yang kini lebih memfokuskan kepada pendekatan menyah jenayah (decriminalization).
"Di bawah Seksyen 6 akta itu, akses kepada rawatan pemulihan kini dipermudah, terutamanya secara sukarela dalam komuniti atau institusi.
Pendekatan ini meletakkan penagih sebagai pesakit yang memerlukan rawatan, bukannya penjenayah yang harus dihukum, selagi mereka tidak terlibat dengan aktiviti jenayah lain," katanya.
Menurutnya, masyarakat diseru untuk menyokong usaha transformasi ini demi memastikan mangsa ketagihan dapat kembali berfungsi sebagai ahli masyarakat yang produktif.