PKR mahu jadikan Kedah kubu kuat parti - Anwar
Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman - Februari 13, 2026 @ 7:57pm

Anwar menyampaikan ucapan perasmian pada Konvensyen PKR Kedah 2026 di sini hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Kedah perlu dijadikan kubu kuat PKR selepas parti itu berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu, terutama di kawasan selatan negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berikutan itu usaha perlu diberikan dalam memperkukuh parti serta cabangnya di seluruh negeri.
"Kedah adalah negeri yang sudah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik.
Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan berjaya perlu dipertahankan, terutama di selatan Kedah.
"Negeri ini adalah contoh terbaik 'based' PKR pada peringkat awal dan mudah-mudahan dengan semangat yang ditunjukkan kita dapat bina dan boleh menjana kekuatan parti," katanya ketika berucap pada Konvensyen KEADILAN Kedah di sini, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pada masa ini adalah amat penting untuk mengekalkan dan mengukuhkan cabang parti sebagai asas kekuatan PKR.
"PKR berada pada tahap terbaik sekarang, jadi bagaimana hendak kukuhkan parti dan cabang.
Latihan untuk ahli baru perlu diterima dan mengikuti beberapa program parti.
"Bagi ahli lama pula, pimpinan khas akan memastikan mereka diberi panduan bagi memperkukuh organisasi parti," katanya.
Beliau juga menekankan, kejayaan parti bukan sahaja bergantung kepada ahli tetapi juga kepada penyatuan dan kerjasama di peringkat pimpinan.
"Yang penting parti kita menang dan perjuangan reformasi yang dibawa sejak awal perlu diteruskan.
"Kita melalui banyak cabaran, kini semua keperluan tersedia untuk melaksanakan kerja parti dengan lebih efektif," katanya.
Perdana Menteri berkata, tiada perkara yang sempurna dan cabaran memimpin negara sentiasa wujud terutama dengan kepelbagaian wakil dalam kerajaan.
"Memimpin negara bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan sebahagian wakil PKR, wakil UMNO dan GPS yang bekerjasama dalam kerajaan.
Namun, kita berusaha seolah-olah satu suara, satu pasukan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1509363/pkr-mahu-jadikan-kedah-kubu-kuat-parti-anwar
|