CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 15382|Reply: 0

[Sabah] Hajiji mahu pelajar Sabah ambil tahu usaha kerajaan

[Copy link]
Post time 13-2-2026 04:41 PM | Show all posts |Read mode


ALBUM: Hajiji dan jemputan lain bergambar bersama para pelajar Sabah yang menerima Inisiatif Bantuan GRS SubFly pada majlis itu.

TANJUNG MALIM: Pelajar Sabah yang menuntut di tempat lain perlu mengambil tahu apa yang dilaksanakan kerajaan di negeri mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, mereka perlu mengambil tahu perkara itu secara peribadi dan tidak terpengaruh dengan cerita di luar yang bercakap perkara tidak betul mengenai kerajaan negeri.

Katanya, pelajar perlu mengetahui perkara sebenar yang dilakukan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah dihadapi di Sabah.

"Saya bersyukur kerana kita dapat membentuk semula kerajaan negeri dan kita akan meneruskan dasar pembangunan yang kita rancang dan laksanakan.

"Dalam hal ini, kita mahu penuntut tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh kerajaan.

"Kita mesti ketahui secara peribadi, jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah.

"Percayalah, saya tahu ramai di sini datang dari pedalaman seperti Keningau, selain Tawau, Sandakan dan seluruh Sabah, pastikan kita dapat maklumat tepat dan betul mengenai program dan juga pembangunan yang sedang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah/Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, di sini, pada Khamis.

Inisiatif GRS SubFlY 2026 itu akan memberi manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang menuntut di UPSI pada masa ini.

Hajiji turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian sama ada di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan di Semenanjung atau luar negara supaya kembali berkhidmat di Sabah.

"Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah, sumbangkan kepakaran sama ada yang diperolehi di dalam atau luar negara kepada Sabah," katanya.

Terdahulu, Hajiji menyatakan kebanggaannya berikutan ramai pelajar dari Sabah melanjutkan pengajian di UPSI dengan seramai 2,772 orang sedang menuntut di universiti itu ketika ini.

"Saya dimaklumkan penuntut di sini begitu ramai dari Sabah iaitu 2,772 orang, ini hebat sekali. Jadi apa yang penting pelajar dari Sabah di sini tumpukan perhatian khusus dalam bidang pembelajaran kerana inilah kunci untuk berjaya pada masa akan datang.

"Kerana itulah saya beri tumpuan khusus kepada pendidkan kerana bagi saya inilah kunci utama untuk kita majukan negeri dan negara kita pada masa akan datang.

"Saya yakin penuntut kita di sini rupanya anak Sabah banyak terlibat dalam aktiviti yang bukan saja melonjakkan nama universiti, tapi juga Sabah, rupanya anak Sabah serba boleh, ini amat membanggakan saya.

"Saya pun tidak tahu bahawa begitu ramai rupanya, ada yang menjadi wakil negara kita dalam bidang sukan, kebudayaan dan bidang lain, inilah yang harus kita teruskan, bukan saja untuk individu atau anak kita sendiri, tapi juga untuk negeri dan negara kita," katanya.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menerangkan sedikit sebanyak mengenai usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk untuk menyelesaikan masalah air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

Beliau turut menjelaskan mengenai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri yang membolehkan kerajaan memulangkan semula manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 01:30 AM GMT+8 , Processed in 0.081158 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list