CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9274|Reply: 0

[Sabah] SMJ 2.0 buka lembaran baharu pembangunan Sabah

[Copy link]
Post time 28-1-2026 11:57 AM | Show all posts |Read mode


MANDELA

KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini menandakan lembaran baharu hala tuju pembangunan negeri, dengan penekanan kepada kesinambungan, kestabilan dan penyampaian hasil yang boleh dirasai rakyat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, SMJ 2.0 adalah isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu sekadar ‘mengikut arus’.

Katanya, Sabah tampil memimpin hala tuju sendiri sebagai negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Sabah tidak pernah kekurangan bakat dan sumber, namun kelemahan sebelum ini lebih kepada aspek kesinambungan dasar serta kestabilan pentadbiran yang menjejaskan pelaksanaan projek dan pembaharuan.

“Apabila politik sering berubah, keutamaan turut berubah. Akhirnya rakyat Sabah yang menanggung akibatnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengingatkan bagaimana pembatalan model Project Delivery Partner bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo oleh pentadbiran terdahulu menyebabkan kehilangan momentum.

“Selain itu keputusan menamatkan secara tidak sah sembilan operator loji rawatan air di seluruh Sabah yang mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar pampasan dan ganti rugi berjumlah RM315 juta.

“Jumlah itu boleh membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar. Inilah sebabnya kesinambungan dasar amat penting, supaya wang rakyat dijaga dan keputusan tergesa-gesa yang menghukum rakyat dapat dielakkan,” katanya.

Mandela berkata, SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan pentadbiran, memulihkan keyakinan, memperkemas penyelarasan serta mengukuhkan disiplin kewangan sebagai asas pembangunan.

Katanya, SMJ 2.0 pula membawa Sabah ke fasa transformasi dengan pendekatan membaiki kelemahan, membina keperluan baharu dan menilai prestasi berdasarkan hasil yang boleh dilihat serta dirasai rakyat.

“SMJ 2.0 berdiri atas prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, dengan kepentingan Sabah didahulukan, hak Sabah dipertahankan dan pembangunan dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, hala tuju SMJ 2.0 dipandu empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, yang merangkumi keperluan asas rakyat, kesiapsiagaan ekonomi masa depan, kesejahteraan rakyat serta perpaduan dan kestabilan negeri.

Dalam pada itu, Mandela turut menyifatkan SMJ 2.0 sebagai ujian sebenar kepada anak muda Sabah yang mengharapkan peluang pekerjaan adil, kemahiran relevan, kos sara hidup lebih mampu serta keyakinan untuk membina masa depan di negeri sendiri.

Mengulas kepimpinan negeri, beliau menegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berjaya mengekalkan kestabilan Sabah ketika ketidakstabilan lebih mudah berlaku.

“Kestabilan bukan matlamat akhir, tetapi asas kepada hasil yang nyata. SMJ 2.0 adalah usaha menukar kestabilan kepada momentum dan momentum kepada penyampaian,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran SMJ 2.0 bukan sekadar memperkenalkan satu dokumen, sebaliknya menetapkan haluan baharu pembangunan Sabah berteraskan maruah, dipacu prestasi dan dikuatkan dengan perpaduan rakyat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-2-2026 08:16 PM GMT+8 , Processed in 0.043055 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list