
OPERASI: Hajiji bersama Abang Johari menyempurnakan gimik simbolik pengoperasian projek interkoneksi grid kuasa Sarawak–Sabah pada majlis di SICC.
KOTA KINABALU: Projek penyambungan grid kuasa Sabah–Sarawak dijangka memperkukuh sistem bekalan elektrik negeri ini agar lebih stabil, boleh dipercayai dan mampan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, inisiatif berkenaan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penjanaan berasaskan bahan api fosil secara berperingkat di samping meningkatkan margin rizab elektrik Sabah.
Katanya, usaha itu turut mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap kebolehlaksanaan serta kebolehpercayaan bekalan kuasa di negeri ini, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Sabah menghargai kesediaan Sarawak menjadi rakan strategik tenaga, bukan sahaja melalui kerjasama bekalan elektrik merentasi sempadan, malah sebagai rakan pembangunan Borneo yang berkongsi aspirasi masa depan sama.
“Pembangunan tenaga elektrik di Sabah memerlukan kerjasama semua pihak sebagai satu pasukan.
“Komitmen kerajaan negeri jelas, iaitu memastikan bekalan elektrik terus diperkukuh,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek penyambungan grid kuasa Sabah–Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.
Hajiji berkata, bagi pihak kerajaan Sabah, kerjasama seumpama itu menjadi langkah penting ke arah merealisasikan visi bersama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Menurutnya, pembangunan infrastruktur merentasi sempadan melalui Grid Kuasa ASEAN (APG) secara langsung meningkatkan prospek ekonomi negara yang terlibat.
“Infrastruktur tenaga yang berdaya tahan dan mampan akan mengukuhkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus memacu pertumbuhan sektor perindustrian, pembuatan dan hiliran,” katanya.
Tambahnya, Sabah sebagai pintu masuk utama Malaysia ke BIMP-EAGA memainkan peranan strategik dalam menyatukan sistem kuasa Borneo.
Katanya, penyepaduan itu membuka potensi perdagangan tenaga rentas sempadan serta mewujudkan rangka kerja pasaran tenaga serantau yang bersepadu, cekap dan mampan.
Dalam pada itu, interkoneksi grid Sabah–Sarawak menjadi pencapaian penting yang membuka laluan kepada hubungan masa depan dengan Kalimantan, Brunei Darussalam dan selatan Filipina.
Hajiji berkata, permintaan elektrik di Sabah terus meningkat selari pertumbuhan populasi, pengembangan industri dan pembangunan luar bandar.
“Memenuhi permintaan ini menjadi keutamaan strategik yang kritikal.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Tenaga Sabah, Suruhanjaya Tenaga Sabah serta agensi berkaitan melaksanakan strategi menyeluruh secara berfasa meliputi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Pendekatan berkenaan memastikan margin rizab penjanaan mencukupi di samping meningkatkan daya tahan serta kebolehpercayaan keseluruhan sistem tenaga Sabah,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif utama termasuk kelulusan dan pembangunan projek penjanaan baharu dengan campuran sumber tenaga pelbagai.
“Ini meliputi penggunaan loji janakuasa berasaskan gas sebagai sumber tenaga peralihan, selain pengembangan tenaga boleh baharu seperti hidro, solar dan angin serta teknologi penyimpanan tenaga termaju seperti sistem penyimpanan tenaga bateri dan hidro simpanan pam,” katanya.
Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti, malah mengurangkan risiko gangguan bekalan dengan mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada satu sumber tenaga.
Hajiji menegaskan, kerajaan negeri kekal komited memastikan sektor tenaga Sabah berkembang seiring kelestarian alam sekitar.
“Berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, kerajaan memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu bagi mengurangkan intensiti karbon, selaras komitmen perubahan iklim di peringkat negeri dan nasional.
“Usaha itu penting demi menjamin masa depan tenaga yang lebih hijau, mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
“Kerajaan Sabah kekal teguh dalam misi menyediakan bekalan elektrik stabil dan mampan bagi memacu aspirasi pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|