|
|
Malang memang tak berbau. Ajal maut pula boleh menjemput bila-bila masa. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah Ramli Ismail yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 pagi tadi.
 Foto: Harian Metro
Aktor veteran Ramli yang juga merupakan bapa kepada pelakon Rusdi Ramli meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari kediamannya di Damansara ke Hospital Sungai Buloh.
Menurut Harian Metro, bekas isteri arwah yang juga pelakon veteran iaitu Norlia Ghani berkata arwah meninggal pada usia 78 tahun.
"Saya dimaklumkan arwah terjatuh ketika nak ke bilik air awal pagi tadi. Selepas itu dia terus tak sedarkan diri. Anak arwah cuba memberikan bantuan pernafasan melalui mulut (CPR) tapi gagal.
"Kemudian mereka (anak dan isteri) menghubungi ambulans dan arwah dikejarkan ke Hospital Sg Buloh. Namun arwah tak dapat diselamatkan," katanya kepada Harian Metro.
 Foto: BH Online
Tambah Norlia, Allahyarham yang dimandikan di Masjid Damansara Damai dan dikebumikan di kawasan berhampiran tidak menghidap sebarang penyakit.
"Mungkin ini sudah ajalnya. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.
Terdahulu, Norlia dan Allahyarham berkahwin pada 1969 dan dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Eddie dan Amy. Selepas mereka bercerai pada 1986, Allahyarham berkahwin kali kedua dan dikurniakan anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.
 Foto: IG Rusdi Ramli
Memetik laporan BH Online, Ramli Ismail atau lebih dikenali sebagai Ramli Kechik pernah berlakon sebagai watak tambahan dalam filem Nasib Do Re Mi, manakala menerusi filem Laksamana Do Re Mi, dirinya memegang watak Perdana Menteri Negara Pasir Berdengung.
Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Semoga dia ditempatkan di kalangan orang beriman. - CARI |
|