Georgetown: Kampung Dodol di daerah Timur Laut dan Taman Guar Perahu di daerah Seberang Perai Tengah negeri ini diangkat menjadi kampung contoh bagi Kampung Aspirasi Bebas Dadah.
Ia susulan kadar komitmen klien di kampung itu yang amat tinggi dalam program rawatan dan pemulihan menerusi komuniti.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang Roswati Apin berkata, Kampung Aspirasi Bebas Dadah diperkenalkan adalah fokus dalam melaksana aktiviti dan program membabitkan kluster pendidikan, pencegahan dadah, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang.
"Mereka memberi komitmen baik dalam program rawatan dan pemulihan di komuniti, misalnya seperti di Kampung Dodol kini hanya berisiko sederhana malah jika kita lihat kes baru pun, ia masih terkawal.
"Kriteria kategori kampung berisiko sederhana adalah apabila terdapat kes dadah, ia dalam skala sederhana selain mempunyai kumpulan remaja atau individu berisiko yang boleh dicegah lebih awal," katanya pada Program Kembara Antidadah Jelajah Aspirasi Cergas Sihat anjuran AADK Timur Laut di Masjid Hashim Yahaya Kampung Dodol di sini.
Menurut Roswati program itu bertujuan mendekatkan kempen AADK dengan masyarakat yang setakat ini menerima pelbagai maklum balas positif.
"Bila bercakap mengenai bahan terlarang kita maksudkan pelbagai bahan yang berada di bawah jadual akta.
"Komitmen masyarakat amat penting dalam memastikan kampung ini bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya.