Georgetown: Operator jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki dengan cara menyimbah asid pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Hazizan Fadzil, 40, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang lelaki berusia 63 tahun dengan cara menyimbah asid kepadanya.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Choong Lye Hock, Tanjung Tokong dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang kira-kira jam 11.20 malam pada 6 Februari lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

OPERATOR jengkaut di Mahkamah Sesyen di sini, didakwa menyebabkan cedera parah ke atas rakan sekerja dengan menyimbah asid. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jun Keong tidak mencadangkan jaminan memandangkan keadaan mangsa yang masih dirawat di hospital berikutan mengalami cedera di muka, badan dan tangan.
Tertuduh yang mempunyai seorang cahaya mata itu kemudian merayu pengurangan jaminan berikutan daripada keluarga susah.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 16 Mac depan bagi serahanan laporan perubatan.
Difahamkan, tertuduh yang juga rakan sekerja mangsa dikatakan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang enggan meminjamkan wang kepadanya sebelum ini.