Ringgit mengukuh 10.2 peratus pada 2025 disokong asas domestik kukuh - BNM Gambar fail. - NSTP/ASWADI ALIAS
KUALA LUMPUR: Ringgit menambah nilai sebanyak 10.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang 2025, manakala kadar pertukaran efektif nominal (NEER) mata wang tempatan itu meningkat 6.3 peratus, disokong gabungan faktor luaran yang lebih stabil serta asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, pada suku keempat 2025 sahaja, NEER ringgit menambah nilai 3.8 peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia, manakala ringgit mengukuh 3.9 peratus berbanding dolar AS.
Menurut bank pusat itu, pergerakan positif berkenaan didorong perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil susulan pengurangan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Oktober dan Disember lalu.
"Selain itu, penambahan nilai ringgit didorong oleh berkurangnya ketidakpastian berkaitan tarif apabila AS memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan beberapa rakan dagangnya di rantau ini, termasuk Malaysia.
"Di dalam negeri, prospek ekonomi Malaysia yang positif dengan disokong beberapa usaha pembaharuan terus mengukuhkan keyakinan pelabur serta menambah baik sentimen keseluruhan dalam pasaran kewangan domestik," katanya.
BNM berkata, pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi faktor luaran, namun asas domestik yang kukuh dijangka memberi sokongan berterusan kepada mata wang tempatan itu.
Menurutnya, usaha terselaras kerajaan dan BNM akan terus menggalakkan aliran dua hala yang mantap dalam pasaran kewangan domestik.
"Usaha yang sedang dijalankan termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negara, serta libat urus proaktif dengan pelabur, pengeksport dan pengimport.
"BNM juga akan terus memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur," katanya.
Dalam pada itu BNM berkata, inflasi keseluruhan Malaysia kekal stabil pada kadar 1.3 peratus pada suku keempat 2025, sama seperti suku sebelumnya, manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus berbanding 2 peratus pada suku ketiga.
"Peningkatan inflasi teras didorong terutamanya oleh kenaikan harga yang lebih pantas bagi beberapa item teras tertentu termasuk barang kemas dan jam tangan, selain kesan asas daripada inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih.
"Tekanan harga berkenaan sebahagian besarnya diimbangi oleh harga yang lebih rendah bagi barangan ditadbir terpilih, khususnya elektrik dan petrol.
"Inflasi elektrik mencatatkan penurunan 10.3 peratus berbanding penguncupan 4.6 peratus pada suku ketiga, manakala harga petrol turun 2 peratus berbanding penurunan 0.6 peratus sebelumnya.
"Perkembangan ini selaras dengan diskaun yang lebih besar berkaitan kos penjanaan elektrik pada suku tersebut serta pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar mulai Oktober 2025," katanya.
BNM berkata, rebakan inflasi yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 39.6 peratus pada suku keempat, berbanding 43.8 peratus pada suku sebelumnya.
Menurutnya, kadar itu juga kekal lebih rendah berbanding purata suku keempat tahun-tahun sebelum ini iaitu 41.7 peratus, mencerminkan tekanan harga yang masih terkawal dalam ekonomi domestik.
"Selaras dengan jangkaan terdahulu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 peratus dan 2 peratus bagi keseluruhan tahun 2025. "Pada 2024, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata 1.8 peratus," katanya.
|