CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12315|Reply: 3

[Sabah] Suspek bunuh wanita dikerat tujuh bahagian ditahan kurang 24 jam

[Copy link]
Post time 13-2-2026 09:34 AM | Show all posts |Read mode


Utusan Borneo

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, di sini, awal pagi Khamis.

Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an itu diberkas di sekitar bandar raya ini kira-kira jam 5 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Luyang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Bukit Aman.

Tangkapan dibuat dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan bahagian anggota badan mangsa berusia lingkungan 40-an oleh seorang pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi.

Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada pemeriksaan ke atas mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan dalam operasi pencarian susulan polis berikutan penemuan awal tangan dan kaki mangsa di tong sampah.

Petunjuk berkenaan membolehkan polis menjejaki lokasi suspek sebelum berjaya menahannya pada hari sama.

Berdasarkan maklumat awal diperoleh, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang mencetuskan pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum insiden itu berlaku.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

“Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu.

“Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes berjaya diselesaikan. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.

Terdahulu, mayat seorang wanita ditemukan dalam keadaan terpisah apabila beberapa bahagian anggota badannya dijumpai di dua tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan manusia berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya kira-kira jam 6.30 pagi.

Susulan itu, polis menjalankan pencarian lanjut dengan bantuan pekerja lori sampah di sekitar lokasi.

Hasil pencarian dan siasatan membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa kira-kira jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran Pasaraya Bataras Indah Permai.

Setakat jam 12 tengah hari, dua lagi bahagian anggota badan masih belum ditemukan dan usaha pencarian diteruskan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 13-2-2026 09:39 AM | Show all posts
Suspek mengaku bunuh wanita akibat perselisihan peribadi, tuntutan wang pertunangan
Februari 13, 2026, Jumaat - 9:06am



TAHAN: Polis menahan suspek kedua selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

KOTA KINABALU: Suspek utama kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai mengaku terlibat dalam kejadian itu dengan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pengakuan itu diperoleh hasil soal siasat awal selepas suspek lelaki tempatan berusia 71 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek mendakwa pembunuhan itu berkait konflik hubungan peribadi antara suspek dan mangsa, termasuk isu tuntutan wang pertunangan yang dipercayai mencetuskan pertelingkahan serius.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan, termasuk mengenal pasti kronologi penuh kejadian serta peranan individu lain yang mungkin terlibat,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai kes terbabit, beliau berkata, hasil maklumat saksi mendapati seorang wanita pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki, sekali gus menjadi petunjuk penting kepada siasatan.

“Susulan itu, pada jam 8.10 malam, polis menahan suspek utama di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, di sini, bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun pada jam 10.30 malam di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan penting termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna keemasan bagi tujuan siasatan forensik.

“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, kes itu terbongkar susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di dua kawasan tempat pembuangan sampah Pekan Indah Permai pada Khamis.

Siasatan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar, kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 09:42 AM | Show all posts
Anak suspek utama kes bunuh wanita dikerat tujuh bahagian ditahan
Februari 13, 2026, Jumaat - 6:59am



Utusan Borneo

KOTA KINABALU: Polis menahan anak kandung suspek utama kes pembunuhan kejam wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di sini, malam Khamis.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di sebuah rumah di Sepanggar kira-kira jam 11 malam dalam operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Penahanan itu menyusul selepas tangkapan bapanya berusia lingkungan 70-an kira-kira jam 5 petang iaitu kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.

Katanya, suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum ini, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan dianggap selesai dari sudut tangkapan suspek, namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu, mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai.

Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki mangsa kira-kira jam 6.30 pagi sebelum pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.

Kes berkenaan mencetuskan kejutan dalam kalangan penduduk setempat susulan kekejaman yang dilakukan, selain operasi forensik polis yang dijalankan di beberapa lokasi bagi mengumpul bukti dan melengkapkan siasatan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-2-2026 04:47 PM | Show all posts
Tindakan pantas polis tahan suspek kurang 24 jam dipuji
Februari 13, 2026, Jumaat - 12:41pm



ZAKI

TAWAU: Tindakan pantas polis menahan suspek utama yang dikaitkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita di Indah Permai, Sepanggar dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan wajar dipuji dan dihargai.

Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata, kecekapan pasukan keselamatan itu membuktikan komitmen tinggi pihak berkuasa dalam memastikan penjenayah tidak terlepas dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Kejayaan menahan suspek dalam tempoh singkat mencerminkan kesungguhan polis dalam menjalankan tanggungjawab serta memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap kes jenayah ditangani secara serius.

“Tindakan pantas ini menunjukkan pihak polis sentiasa bersiap siaga dan komited dalam melindungi keselamatan orang awam serta memastikan pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Masyarakat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan siasatan berjalan lancar.

“Kejadian itu juga perlu dijadikan peringatan serius mengenai kepentingan aspek pencegahan jenayah kerana insiden jenayah boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira lokasi atau masa.

“Ramai beranggapan kawasan perumahan adalah zon selamat, namun hakikatnya pelaku dan mangsa boleh berada di sekeliling kita, sama ada individu dikenali atau tidak dikenali,” katanya.

Zaki berkata, kesedaran individu memainkan peranan penting dalam usaha mencegah jenayah termasuk mengelakkan berjalan bersendirian di kawasan sunyi dan kurang pencahayaan terutama pada awal pagi atau lewat malam.

Katanya, orang ramai juga digalakkan sentiasa memaklumkan ahli keluarga atau rakan mengenai lokasi keberadaan mereka sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Wanita khususnya perlu lebih berhati-hati, sentiasa peka dengan persekitaran dan tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha mencegah jenayah bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat setempat.

Katanya, komuniti perlu memainkan peranan aktif dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu mencegah kejadian tidak diingini.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada polis atas kecekapan dan tindakan pantas menahan suspek dalam tempoh singkat.

“Tindakan berkenaan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa.

“Saya berharap siasatan kes berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya dan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya, kecekapan pasukan keselamatan dalam menangani kes berprofil tinggi seperti ini penting bagi memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan terus terpelihara.

Zaki turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan diri.

Katanya, langkah pencegahan yang konsisten dan kesedaran berterusan mampu membantu mengurangkan risiko jenayah dalam kalangan masyarakat.

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan peranan semua pihak bagi memastikan persekitaran yang selamat dan harmoni dapat diwujudkan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 07:57 AM GMT+8 , Processed in 0.602840 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list