
Tun Wan Junaidi menyampaikan hadiah kepada johan qari sambil disaksikan yang lain. - Gambar Astana Sarawak

Toh Puan Fauziah menyampaikan hadiah kepada johan qariah sambil disaksikan Tun Wan Junaidi serta yang lain. - Gambar Astana Sarawak
SERIAN: Jubni Sulong dan Nur Syakura Mohamad Musa dinobatkan sebagai qari terbaik dan qariah terbaik pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 yang berlangsung di Dewan Pusat Konvensyen Serian di sini, malam Sabtu.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Selain kejayaan dalam kategori tilawah, pertandingan hafazan turut menyaksikan Muhammad Najdat Arsyad Mazalan Abdul Rahman muncul johan Hafazan Lelaki juzuk 1–30, diikuti Harith Zakwan Sebli (juzuk 1–20) dan Azizul Azmin Abdul Rajak (juzuk 1–10).
Bagi kategori Hafazan Wanita (Hafizah), johan juzuk 1–20 dimenangi Izyan Nur Fazreena Ismail manakala johan juzuk 1–10 disandang Adeela Bokhari.
Majlis dimulakan dengan pengumuman keputusan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh johan markah tertinggi.
Dalam ucapannya, Tun Wan Junaidi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang dan berharap kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus memartabatkan syiar Islam serta memperkasa penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, penghayatan al-Quran amat penting dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia, sekali gus menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup yang kekal sepanjang zaman.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha turut hadir bersama Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud serta yang lain.
Sumber : Utusan Borneo
|