Langkawi: Seramai 14 pendayung wanita mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan misi berkayak sejauh 42.9 kilometer (km) dari Satun ke Langkawi dalam tempoh sembilan jam, hari ini.
Kejayaan itu dilakar menerusi aktiviti Ladies In Kayak Expedition (LIKE) yang bermula dari Jeti Tammalang, Satun, dengan peserta berusia antara 22 hingga 45 tahun.
Pelepasan ekspedisi pada jam 9 pagi disempurnakan oleh Gabenor Satun, Kanit Kongchouy.
Turut mengiringi peserta sepanjang aktiviti lasak merentasi sempadan itu ialah Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah serta Penaung LIKE, Hisham Suhaily Othman.
Peserta terbabit tiba di Jeti Kuah, di sini, pada jam 6 petang tadi.
Seorang peserta, Si Kui Sian, 42, berkata cabaran utama ekspedisi itu adalah arus air yang laju serta perubahan angin secara tiba-tiba yang memerlukan perahan kudrat tinggi dan ketahanan mental.
Katanya, ombak di beberapa kawasan khususnya di perairan sempadan mencecah antara 1.5 hingga 2.5 meter, sekali gus menuntut kemahiran tinggi bagi mengelakkan kayak terbalik.
"Ketika latihan di perairan Langkawi, kami tidak pernah berhadapan situasi sebegini.
Jadi saya kuatkan semangat dengan memujuk hati dan mengalihkan fikiran daripada laut dan kayak.
Akhirnya saya berjaya," katanya.
Seorang lagi peserta, Wirdana Kesuma Mohd Jaya, 33, berkata penyertaannya dalam LIKE merupakan pengalaman pertama dalam aktiviti berkayak jarak jauh.
Katanya, beliau pada awalnya tidak yakin dengan kebolehan diri apatah lagi berdepan cuaca panas terik sepanjang perjalanan.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana berjaya mencipta kejayaan ini bersama 13 rakan lain, sekali gus mengangkat martabat wanita yang sering dilabel sebagai insan lemah," katanya.
Sementara itu, jurulatih ekspedisi, Mohd Khairi Md Nanyan, berkata kejayaan kumpulan wanita itu adalah hasil persiapan rapi serta kerjasama berpasukan yang mantap.
Menurutnya, program lasak berkenaan dirancang untuk dijadikan acara tahunan dan menerima sokongan pelbagai pihak di Malaysia, selain kerjasama penuh daripada pihak berkuasa di Satun.