Alor Setar: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesahkan menerima maklumat berkenaan kebakaran di tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara haram di Kampung Besah, Mukim Tawar di daerah Baling melalui hebahan di media, semalam.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, berikutan itu, satu pasukan dari JAS Kedah, Cawangan Kulim diarah ke tapak pelupusan sampah itu untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi malam tadi mendapati api masih marak dan longgokan sampah berserta plastik ditemui di tapak pelupusan haram ini yang dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Siasatan masih diteruskan setakat ini dan bagi kes tapak pelupusan haram akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Mana-mana pihak atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan perkara ini boleh menghubungi JAS Kedah di talian 04- 733 2832 atau JAS Kedah, Cawangan Kulim di talian 04- 403 7675," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah akan meneruskan siasatan aktiviti pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata, sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM 1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Dan boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi lima ribu ringgit RM 5,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan selepas suatu notis diserahkan atau boleh dikenakan kompaun dengan suatu jumlah wang tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum.
"Pemilik tanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan tanah mereka tidak dijadikan tapak pelupusan haram mahupun membenarkan pembakaran terbuka berlaku.
"Mana- mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi JAS Kedah, " katanya.
Sharifah Zakiah berkata, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan tiada lagi pembakaran terbuka dan premis patuh terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan- peraturan di bawahnya.
Beliau berkata, sebarang aduan berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar boleh dilakukan melalui panggilan telefon di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emailkan ke
[email protected] atau layari portal aduan
https://[email protected]
Media semalam melaporkan, bomba sudah menghabiskan masa lebih empat jam 'berperang' dengan api yang merebak di kawasan tapak pelupusan sampah di Kampung Besah, Mukim Tawar, di Baling semalam.
Kebakaran itu membabitkan bahan buangan di kawasan itu membabitkan sisa buangan domestik dan kilang berhampiran dan operasi ketika itu dilakukan lapan anggota serta dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.
Setakat ini, selepas lebih 21 jam kebakaran berlaku, operasi pemadaman masih dijalankan di tapak pelupusan sampah terbabit.